- Sahabat -
Assalamu'alaikum...
Alhamdulillah, hari ini cuaca baik. Moga berpanjangan hingga esoknya. Bagaimana dengan cuaca di tempat kalian? Harapnya pun begitu juga. Baru beberapa minggu berada di rumah, teringat pula pada sahabat-sahabat yang lain. Apa khabar kalian sekarang? Diharapkan dalam keadaan sihat wal'afiyat sentiasa.
Sahabat, kawan dan rakan merupakan satu istilah yang sama makna bahasanya, mungkin lain istilahnya. Ada yang berpendapat istilah sahabat, rakan, kawan dan teman barangkali membawa maksud yang berbeza-beza dalam hidup mereka. Sahabat mungkin dikategorikan yang paling rapat dan akrab dengan kita. Kawan dan rakan pula mungkin membawa makna lain. Mengapa aku berkata mungkin? Kerana setiap orang mempunyai persepsi dan pendirian yang masing-masing terhadap tiga perkataan ini. Ada juga yang berpandangan sama sahaja ketiga-tiganya, tiada beza.
Tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh golongan ini amat besar dan memberi kesan yang mendalam dalam kehidupan. Sejak dari kecil, kita telah dilatih untuk bersahabat. Jadi di sini, siapa sahabat pertama kita? Ada akal, fikir-fikirkan. Sahabat yang baik pasti membawa pengaruh yang baik terhadap sahabatnya yang lain. Begitu juga sebaliknya. Pengaruh sahabat tidak terhad dalam perubahan tingkah laku dan akhlak, malah memberi kesan terhadap cara hidup seseorang. Oleh itu, apa yang baik kita ikutkan dan apa yang buruk kita tinggalkan.
Sahabat yang baik tidak akan menyusahkan sahabatnya yang lain. Bahkan sahabat yang baik akan membantu sahabatnya yang lain. Sahabat yang baik, apabila dipandang membuatkan kita ingat pada Allah. Apabila dia tiada, membuatkan kita rindu akan nasihat dan tegurannya. Senda guraunya menyenangkan bukan menyakitkan. Apabila berbeza pendapat, dia akan menerimanya dengan terbuka. Ajakannya sentiasa ke arah kebaikan dan membuatkan kita ingin mengikut jejaknya. Malah kita akan berasa senang dan percaya padanya apabila semakin rapat dengannya. Apakah kita dapat menjadi sahabat yang baik? Ada akal, fikir-fikirkan...
Dalam bersahabat, ada aturan dan tatacaranya. Apabila dia (sahabat) meminta nasihat, kita berikan yang terbaik padanya. Apabila dia berbuat salah, maka tegurlah dia dan maafkanlah dia. Jangan mengherdik, mencaci dan menghinanya. Dalam Islam, amatlah dilarang sama sekali segala herdikan, cacian dan penghinaan terhadap sesiapa pun. Apabila dia ditimpa kesusahan, maka sudah menjadi kewajipan bagi kita untuk membantunya. Janganlah ketika waktu senang ketawa bersama, ketika waktu susah sedih sendirian. Ikutilah telunjuk Rasulullah Sollallahu 'alaihi Wasallam. Baginda juga bersahabat. Ketika para sahabat dalam kesusahan, Baginda memberi bantuan. Akhlak Baginda yang sedemikian rupa, menguatkan lagi rasa kasih dan cinta para sahabat terhadap Baginda.
Dalam keluarga, ibu bapalah merupakan sahabat yang paling akrab kepada anak-anaknya. Segala masalah akan dirujuk terlebih dahulu kepada mereka. Di sinilah ibu bapa bertindak sebagai sahabat yang mampu menenangkan anak-anak dan menjadi tempat mereka mengadu. Apabila anak-anak ini melakukan kesalahan, tegur dan hukumlah mereka dengan cara yang dibenarkan. Bukan dengan kekerasan, tetapi dengan hikmah dan bijaksana. Sebagai ibu bapa yang menjadi contoh kepada anak-anak, didiklah mereka menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara. Jangan membiarkan mereka menjadi manusia yang mempergunakan agama, bangsa dan negara. Melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Akhir kalam, dalam persahabatan, kepercayaan dan saling menghormati menjadi tunjangnya. Jangan mengkhianati kepercayaan dan kehormatan yang diberikan. Berikan yang terbaik, insyaallah akan dapat yang terbaik.
Bersama sahabat-sahabat SBPI Gombak
Semoga ukhwah kekal selamanya
Semoga ukhwah kekal selamanya
p/s: Kepada para sahabat yang lain, gambar yang ni ja dapat aku muatnaik. Yang lain, insyaallah ada masa, akan menyusul kemudian.
Wallahu a'lam...
2 orang tertinggal pesanan:
ASSALAMUALAIKUM
SAYA INGIN MENJADI SAHABAT YANG BAIK.
DOAKAN SAYA.
:)
wa'alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh...
Amiinn... Insyaallah anda bisa menjadi sahabat yang baik buat sahabat anda.
Post a Comment