Assalamu’alaikum…
Malam tadi para jemaah telah diperingatkan tentang solat jemaah. Ramai di kalangan kita mengetahui bahawa orang yang melakukan solat secara berjemaah bakal mendapat 27 kali ganda pahala berbanding yang bersolat sendirian. Tetapi adakah kita juga mengetahui orang yang solat berjemaah juga boleh jadi hanya mendapat satu pahala sahaja atau tidak dapat langsung? Kata Imam Al-Ghazali, orang yang melakukan solat berjemaah ini ada TIGA jenis iaitu,
1. Yang mendapat 1 pahala
Sebab apa dapat satu pahala? Sebabnya orang ini solatnya serentak atau seiring dengan imam, bukannya mengikut imam. Apabila imam takbiratul ihram, dia pun serentak, sekali perbuatannya dengan imam. Ibaratnya seperti melakukan solat sendirianlah kan. Maka selayaknya satu pahala sahaja untuknya.
2. Yang tidak dapat apa-apa pun
Laa… Orang yang solat berjemaah pun boleh tidak pahala juga kan. Ya, sebab orang ini solatnya mendahului imam. Sebelum imam rukuk, dia dah rukuk dah. Imam baru hendak bersujud, dahi dia dah sampai dah di tempat sujud. Sabda Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam ada menyebut dalam sabdanya, yang bermaksud,
“Tidaklah salah seorang dari kamu takut atau hendaklah salah seorang dari kamu takut apabila ia mengangkat kepalanya mendahului imam bahwa Allah akan merubah kepalanya menjadi kepala keldai atau Allah akan merubah rupanya menjadi rupa keldai”
Hendakkah kita menjadi seperti keldai dalam solat? Selayaknya orang solat seperti ini tidak dapat apa-apa pun.
3. Yang mendapat 27 kali ganda pahala
Orang seperti ini, solatnya mengikut imam. Tidak serentak dengan imam, tidak pula mendahului imam. Mengikut imam. Ibarat kita mengikut orang di belakang. Dia jalan dulu, kita jalan kemudian di belakangnya. Orang yang solat mengikut imam ini, di mana apabila imam sempurna turun rukuk, baru dia turun rukuk. Apabila imam sempurna turun sujud, barulah dia turun sujud. Selayaknya dia mendapat pahala 27 kali ganda.
Sekarang, sudah tahu bukan macam mana hendak solat berjemaah dengan betul? Solat kita hendak mengikut imam yang menjadi ketua. Bukannya serentak atau seiring dengan imam dan bahkan bukan pula mendahului imam. Kaji semula bagaimana solat kita apabila berjemaah. Jangan sampai kita terlepas 26 selebihnya atau kesemuanya sekali.
Al-Quran Itu Mukjizat
Apa itu mukjizat? Mukjizat ialah suatu perkara yang luar biasa yang ada pada para Nabi dan Rasul. Perkara yang di luar jangkaan manusia, yang pelik, yang luar dari batasan akal fikiran manusia. Seperti mana yang berlaku pada Nabi Musa ‘alaihi Salam, membelah laut dengan tongkatnya, Nabi Daud ‘alaihi Salam, melembutkan besi dengan tangannya dan Nabi Muhammad Sollallahu ‘alaihi Wasallam, membelah bulan, keluar air di celah-celah jarinya dan menjawab salam si pohon kurma. Mukjizat terbesar Nabi Muhammad Sollallahu ‘alaihi Wasallam ialah Al-Quran. Apakah kepelikan atau perkara yang luar biasa yang ada pada Al-Quran? Pernah kita cari kepelikan, perkara yang di luar batasan akal manusia yang ada pada Al-Quran? Yang hanya kita tahu adalah, tahu sebut sahaja.
Ulama-ulama terdahulu telah menyelidiki Al-Quran. Perintah puasa, larangan minum arak dan bermain judi, semuanya datangnya dari Al-Quran. Disokong pula dengan As-Sunnah. Jika kita membaca tafsir, tadabbur Al-Quran, kita akan dapat tahu pelbagai cerita di dalamnya. Contohnya bab larangan arak dan judi. Dalam Al-Quran, Allah telah berfirman, Surah Al-Maidah ayat 90 yang bermaksud,
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
Begitu juga sebagaimana yang kita tahu, perintah puasa dalam Surah Al-Baqarah, ayat 183, yang bermaksud,
“Wahai orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa (ramadhan) sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertaqwa.”
Jika kita mengkaji (mentadabbur) Al-Quran, kita akan lebih faham tentang Islam. Agama Islam bukanlah agama mengongkong kehidupan manusia, tetapi agama yang menunjukkan cara hidup yang lebih teratur kepada manusia melalui Al-Quran dan As-Sunnah. Allah menceritakan banyak kisah-kisah umat terdahulu seperti kisah Bani Israil dan kaum nabi-nabi terdahulu. Tidak kurang juga, Allah mengingatkan kita dalam pelbagai perkara kehidupan agar kita tidak mengikut jejak langkah syaitan.
Kita dapat lihat betapa banyak kes-kes dan gejala yang tidak baik membabitkan umat Islam sendiri berlaku di negara kita. Semua ini kerana kurangnya faham tentang Islam. Dan mengambil sebahagian sahaja kebenaran Al-Quran dan sebahagian lagi tidak dipedulikan, bahkan pula ditolakkan tidak akan menyelesaikan permasalahan yang berlaku di kalangan umat Islam sendiri.
Sebaliknya keseluruhan kebenaran Al-Quran yang tiada tipu daya dan keraguan di dalamnya diambil sebagai peringatan dan pedoman dalam kehidupan. Silap kita adalah hanya apabila berlaku salah laku dalam hal-hal ibadat, hal-hal berkaitan dengan agama, kita berbalik kepada Al-Quran. Tetapi hal-hal ekonomi, undang-undang, politik, perubatan dan kejuruteraan, kita tidak berbalik kepada Al-Quran. Bukankah agama Islam itu adalah pedoman yang lengkap untuk kehidupan manusia? Firman Allah dalam Surah Al-Maidah, ayat 3, yang bermaksud,
“…Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu;...”
Sebagai umat Islam, tidak seharusnya kita bersikap tidak yakin, atau kurang yakin dengan agama Allah, Islam. Jika ada kekurangan dalam keyakinan kita, berusahalah menuntut ilmu-ilmu agama, yang masih banyak lagi perlu kita ketahui agar kita lebih yakin dalam mengamalkan agama Islam dalam kehidupan. Jangan sampaikan hal-hal yang remeh-temeh kita tidak tahu mengendalikannya. Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam telah berpesan dalam sabdanya,
“Aku tinggalkan kepada kamu (umat Islam) dua pusaka abadi, apabila kamu berpegang kepadanya nescaya kamu tidak akan sesat, iaitu Kitab Allah (Al Quran) dan Sunnahku.”
Wallahu a’lam…