- Malam Ramadhan 17 -
Assalamu’alaikum…
Al-‘amal… Itu yang menjadi tajuk tazkirah malam tadi. Yang bermaksud kerja. Kerja ini melibatkan apa yang kita lakukan saban hari dalam kehidupan kita. Dari mula kita bangun, sehinggalah kita tidur semula, kita melakukan pelbagai kerja.
Allah berfirman dalam Surah At-Taubah, ayat 105, yang bermaksud,
“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”
Baca dan fahamkan. Allah berfirman dalam Al-Quran bahawa ada tiga yang melihat apa yang kita lakukan, apa yang kerjakan. Pertamanya, Allah; Keduanya, Rasul; Dan ketiga, orang-orang yang beriman. Kemudian Allah berfirman lagi dalam ayat seterusnya bahawa segala kerja kita itu akan dinilai dan diungkit kembali pada Hari Pembalasan nanti. Walau sebesar zarah pun, akan diambil kira oleh Allah di akhirat kelak. Sebagaimana firman-Nya, yang bermaksud,
“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).”
Surah Al-Zalzalah, ayat 7-8
Aku diberitahu bahawa dalam melakukan sebarang kerja, hendaklah kita pelihara LIMA perkara ini.
1. Al-ikhlasun Niyyah (Niat yang ikhlas)
Dalam Surah Al-Baiyyinah, ayat 5, Allah berfirman yang bermaksud,
“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid;…”
Setiap pekerjaan yang kita lakukan hendaklah ikhlas kerana Allah. Apabila kita ikhlas lakukan sesuatu pekerjaan itu, kita akan melakukannya dengan tekun, bersungguh-sungguh. Kerana apa kita perlu niat kerana Allah? Sebabnya, semua perbuatan kita, percakapan kita, adalah dengan izin Allah. Allah yang membenarkan segala-galanya berlaku. Tanpa kehendak dan keizinan daripada-Nya, kita tidak akan dapat buat satu kerja sekalipun.
Ibadah dan Jihad
Apabila kita buat suatu kerja itu ikhlas kerana Allah, ia adalah sebahagian daripada ibadah. Macam mana nak ikhlas kerana Allah? Hendaklah kita berdoa. Mulakan kerja dengan basmalah. Justeru itu, dalam membuat kerja, apabila niatnya sudah ikhlas, dia akan melakukan kerja itu dengan bersungguh-sungguh. Jika dia bekerja di kilang, dia akan tekun melakukan tugasnya untuk meningkatkan pengeluaran produk. Jika dia bekerja di pejabat, dia melakukan kerjanya sehingga habis tepat pada waktunya. Dia tidak akan kerja sambil lewa, kerana apabila sudah ikhlas, pasti kerja yang dilakukannya itu kerana Allah. Umat Islam ketinggalan kerana tidak ada jihad (kesungguhan) dalam diri. Jadi, orang-orang belum Islam yang banyak menguasai perniagaan dan ekonomi di dunia ini. Oleh itu, jangan jadikan kerja itu hanya ibadah sahaja, tetapi hendak diiringi dengan kesungguhan (jihad) supaya umat Islam pula yang menguasai perniagaan dan ekonomi.
2. Muroqabatullahu Ta’ala (Pemerhatian Allah Ta’ala)
Allah berfirman dalam Surah Al-Hadid, ayat 4, yang bermaksud,
“….dan Dia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.”
Segala apa jua pekerjaan yang kita lakukan dalam pemerhatian Allah. Sedikit pun kita tidak akan terlepas daripada-Nya. Bukankah Allah bersifat Maha Melihat Lagi Maha Mengetahui? Ini yang kadang-kadang (mungkin selalu juga) manusia lupa bahawa segala tingkahlaku mereka diperhatikan oleh Allah. Jadi, berlakulah hal-hal tangan yang tidak baik seperti rasuah, mencuri, merompak, membunuh dan berzina.
Ujrah dan Jaza’
Ujrah ini maksudnya upah (dunia) manakala jaza’(ejaan: jim zai alif hamzah) bermaksud balasan (akhirat). Segala pekerjaan yang manusia lakukan ini ada upahnya. Sebab itu, apabila seseorang itu berusaha dalam kerjanya, Allah kurniakan kejayaan, hasil yang baik dalam kerjanya, tidak kira dia seorang Islam ataupun kafir. Kerana Allah itu sifatnya Maha Pemurah. Allah mengurniakan rezeki kepada sesiapa sahaja yang berusaha mencapai kejayaan (upah). Jangan pula kita lupa, bahawa setiap pekerjaan itu ada balasannya di akhirat nanti. Pekerjaan yang baik akan diberikan balasan yang baik manakala pekerjaan yang jahat akan dibalas dengan balasan yang buruk. Justeru itu, apabila kita nak buat satu pekerjaan sama ada baik atau buruk, ingatlah bahawasanya Allah sedang memerhatikan gerak-geri kita. Dan setiap daripadanya (pekerjaan yang dilakukan) akan menerima balasan dunia (ujrah) dan balasan akhirat (jaza’).
3. Al-ihsan (Yang terbaik)
Firman Allah dalam Al-Quran, Surah Hud, ayat 7, yang bermaksud,
“Dan Dialah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, sedang Arasy-Nya berada di atas air (Dia menjadikan semuanya itu) untuk menguji kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya;….”
Dalam melakukan sesuatu pekerjaan, kita perlu memberikan yang terbaik, sedaya upaya kita. Allah tidak melihat amal kita banyak mana, sebesar mana amal kita, seberat mana pekerjaan kita, tetapi Allah melihat siapa di antara kita ini yang terbaik amalannya. Biar amalan yang kita lakukan itu kecil, sedikit tetapi itulah yang terbaik yang dipandang oleh Allah ta’ala.
Amanah dan Istiqamah
Kita kena sedar bahawa setiap pekerjaan yang kita lakukan adalah amanah. Tatkala Allah memberikan kehidupan kepada kita di dunia ini, bermakna Allah telah melantik kita sebagai khalifah di muka bumi. Khalifah, itulah amanah daripada Allah. Bagaimana kita nak memakmurkan bumi Allah ini, bagaimana kita hendak menggunakan segala nikmat di atas muka bumi Allah ini sebagai tanda syukur kita kepada-Nya. Dalam mengerjakan sesuatu amanah yang diberi, hendaklah kita ada istiqamah padanya. Melakukan sesuatu kerja itu tanpa jemu, kerana orang yang tahu bahawa dia memegang amanah, dia akan beristiqamah melakukan yang terbaik.
4. Muhasabatun Nafsi (Menilai diri)
Berkata Umar Al-Khattab Radhiyallahu ‘anhu, yang bermaksud,
“Nilailah diri kamu sebelum kamu menilai orang lain”
Kita kena kembali menilai diri kita, apa pekerjaan yang sudah kita lakukan. Adakah kita melakukannya dengan baik. Kerja yang kita buat itu betul atau salah. Kita kena kaji dari pelbagai aspek dalam apa jua yang kita lakukan. Jika betul kerjanya, Alhamdulillah. Jika salah dalam kerjanya, kena perbaiki atau perbetulkan kembali apa yang salah. Kita kena ingat, bahawa kerja itu adalah amanah orang, amanah yang Allah berikan. Apabila kita selalu menilai diri kita, kita akan perbaiki diri kita. Beginilah jika umat Islam hendak maju ke hadapan. Menilai diri sendiri dulu sebelum menilai orang lain.
Tanggungjawab Yang Satu dan Matlamat Yang Satu
Apa tanggungjawab kita di dunia ini? Tanggungjawab kita adalah sebagai khalifah di muka bumi. Itulah satu tanggungjawab yang besar buat setiap manusia. Tetapi manusia sering kali dibutai dengan nikmat-nikmat keduniaan. Mengejar harta benda dan kemewahan sehingga terlupa asas tanggungjawab ini. Apabila sudah menjadi khalifah, sudah tentulah matlamatnya adalah mencari redha Allah. Apa jua pekerjaan yang kita buat, kita sandarkan di hati kita ini bahawa kita ingin mencari redha Allah. Bukanlah redha manusia kerana redha manusia ini tidak ke mana. Redha Allah jualah yang membawa kita ke syurga. Pilih antara dua, redha Allah atau redha manusia? Dunia atau akhirat? Syurga atau neraka?
5. Tawakkal ‘alallah (Berserah kepada Allah)
Allah telah berfirman dalam Surah Ali-‘imran, ayat 160, yang bermaksud,
“Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.”
Apabila selesai melakukan sesuatu pekerjaan, berserahlah pada Allah. Kerana setiap pekerjaan yang kita lakukan itu adalah kehendak daripada-Nya. Dan hasil daripada kerja yang kita buat itu, Allah jualah yang menentukannya. Sama ada baik atau sebaliknya.
Natijah dan Akhlak
Setiap kerja ada natijah (hasil) pada akhirnya. Setelah kita berusaha bersungguh-sungguh, segala penat lelah kita telah curahkan, kemudian berserah kepada Allah. Hasilnya mungkin boleh jadi baik, boleh jadi buruk. Boleh jadi juga tiada apa-apa perubahan. Dan setiap apa yang Allah telah tetapkan itu, kita hendaklah menerimanya dengan redha. Allah jualah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita. Apabila natijahnya baik, maka orang yang bertawakkal pada Allah tadi ini, akan bersyukur pada-Nya. Sebaliknya, jika natijahnya tidak baik, maka orang yang bertawakkal ini tidaklah menyalahkan ketetapan Allah pada-Nya. Dia ikhlas meredhainya.
Doa
Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 186, yang bermaksud,
“Apabila hamba-hambaKu bertanya kepada engkau (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku hampir. Aku memperkenankan permohonan orang yang meminta jika dia meminta kepada Aku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan aku serta beriman kepada Aku supaya mereka sentiasa berada dalam kebenaran.”
Sebelum kita hendak memulakan kerja, berdoalah pada Allah, dengan pengharapan mudah-mudahan, kerja kita ini diberkati dan natijah daripada kerja itu adalah baik serta menjaga kita daripada ditimpa sebarang musibah. Bukankah doa itu adalah senjata orang-orang beriman? Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam pun telah mewariskan pelbagai doa untuk kita dalam kerja seharian.
Hikmah Doa
1. Menghalakan diri kepada Allah.
Menandakan bahawa kita ingat pada Allah, dan memohon supaya hasrat kita diperkenankan. Siapalah kita yang tidak lain tidak bukan hanyalah hamba-Nya. Tiada daya kita hidup tanpa Allah.
2. Mengikat dengan Pencipta sebab.
Dengan berdoa, secara automatik kita telah mengakui bahawa segala-galanya datang daripada Allah. Apabila kita sakit, kita makan ubat. Dengan asbab ubat itu, kita sandarkan kepada Allah jualah yang menyembuhkan kita daripada penyakit.
3. Elakkan daripada bergantung pada makhluk.
Sesungguhnya kita tidak perlu bergantung kepada makhluk. Hanya Allah sahajalah tempat kita bergantung. Bukanlah bomoh atau pawang yang memohon pertolongan selain Allah.
Kita sudah pun acap kali membaca ayat ini dalam Surah Al-Fatihah, ayat 5, yang bermaksud,
“Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.”
Fahamkah makna bacaan dalam Surah Al-Fatihah? Jika Ya, Alhamdulillah. Sebaliknya, banyakkanlah pembacaan makna ayat-ayat dalam Surah Al-Fatihah.
Wallahu a’lam…
0 orang tertinggal pesanan:
Post a Comment