- Malam Ramadhan 20 -
Assalamu’alaikum…
Sudah hampir hari ke-20 kita berpuasa dalam bulan Ramadhan. Sedar atau tidak, ada lagi sepuluh hari untuk kita mengerjakan ibadah puasa. Lalu inilah kesempatan kita mencari malam yang lebih baik dari seribu bulan pada sepuluh malam yang terakhir. Istiqamahlah dalam ibadah kita dan semoga kita tambahkan lagi sebagai tanda mengabdikan diri pada Allah.
Selama bertahun-tahun kita berpuasa dalam bulan Ramadhan ini, adakah kita tahu asal nama bulan Ramadhan ini dari mana? Adakah kita tahun maksud Ramadhan itu? Kenapa berpuasa selama 30 hari? Kenapa tidak 10 hari sahaja? Tidak pun bagi yang tidak puas berpuasa kenapa tidak setahun saja puasanya? Boleh beribadah banyak lagi bukan.
Asal Nama Ramadhan
Diceritakan bahawa nama Ramadhan ini asalnya dari perkataan ‘Ramadh’ yang bermaksud panas atau bakar. Dalam bulan Ramadhan ini, kita berpuasa untuk membakar hawa nafsu kita supaya lemah dan mengikut kehendak syariat Allah. Supaya senang kita hendak beribadah kepada Allah. Supaya diri kita ini lebih rajin dan memperbanyakkan ibadah sebagaimana yang kita tidak dapat lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Tapi ada juga manusia, bila tibanya waktu berbuka, dia melantak ikut suka hati dia. Macam mana pula tu? Maknanya dia tidak menghayati ibadah puasanya.
Diceritakan lagi, nama Ramadhan diambil daripada nama satu batu. Batu ini tidak akan ditemui di mana-mana kerana batu inilah yang diletakkan di atas badan Saiyyidina Bilal bin Rabah ketika beliau diseksa oleh tuannya, Umaiyyah bin Khalaf. Batu itu diletakkan di atas badan Saiyyidina Bilal bin Rabah sewaktu panas terik. Lalu batu itu diberi nama Ramadhan.
30 Hari Puasa Dalam Bulan Ramadhan
Dikhabarkan bahawa kewajipan berpuasa 30 hari bersamaan sebulan diambil dari syariat Nabi Allah Adam ‘alaihi Salam. Nabi Adam ‘alaihi Salam makan buah khuldi, dari pohon yang dilarang, menyebabkan biji khuldi tersekat di kerongkong Nabi Adam ‘alaihi Salam selama 30 hari. Selepas 30 hari, Allah menyuruh Nabi Adam ‘alaihi Salam berpuasa pula selama 30 hari. Oleh itu, umat Islam difardhukan berpuasa selama sebulan dalam bulan Ramadhan.
Terciptanya Akal Dan Nafsu
Ibadah puasa berupaya mendidik nafsu dan akal. Kita hendak mendidik akal kita supaya lebih cerdik dan lebih mengikut syariat Islam. Kita hendak mendidik nafsu kita supaya tunduk dengan perintah Allah dan menjauhi segala yang dilarang oleh Allah. Bagi manusia yang berfikir tentang kekuasaan Allah, dia menggunakan akalnya. Tundukkan nafsu dengan akal kita. Jangan biarkan akal kita mengikut nafsu kita.
Diceritakan bahawa di saat Allah menciptakan akal, Allah bertanya kepada akal,
“Man Ana wa man anta?”. (Siapa Aku dan siapa kamu?)
“Anta Rabbi ana ‘abdik.” Jawab akal. (Engkau Tuhanku, aku hamba-Mu.)
Lalu akal dibenarkan pergi.
Allah ciptakan pula nafsu. Lalu Allah bertanya kepada nafsu soalan yang sama,
“Man Ana wa man anta?”. (Siapa Aku dan siapa kamu?)
“Ana ana wa Anta Anta.” Jawab nafsu yang tidak mengakui Allah itu Tuhannya, Penciptanya.
(Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau.)
Kemudian Allah memerintahkan malaikat mencampakkan nafsu ke dalam neraka selama 100 tahun. Selepas 100 tahun, nafsu dikeluarkan dan soalan yang sama ditanya kepadanya.
“Man Ana wa man anta?”. (Siapa Aku dan siapa kamu?)
“Ana ana wa Anta Anta.” Jawab nafsu yang masih lagi degil.
(Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau.)
Lalu nafsu dicampakkan ke dalam neraka selama 100 tahun lagi kerana kedegilan dan masih tidak insaf. Selepas tempoh tersebut, nafsu ditanya soalan yang sama.
“Man Ana wa man anta?”. (Siapa Aku dan siapa kamu?)
“Anta Rabbi wa ana ‘abdik” Jawab nafsu. (Engkau Tuhanku, aku hamba-Mu.)
Akhirnya nafsu mengakui bahawa Allah itu Tuhannya dan dia adalah hamba Allah sahaja. Kemudian akal dan nafsu dimasukkan ke dalam jasad manusia. Lihatlah betapa degilnya nafsu untuk tunduk pada Allah seperti mana yang kita dapat tengok balik diri kita bagaimana degilnya nafsu kita ini hendak mengikut perintah Allah. Bahkan nafsu lebih mendorong kepada perkara yang tidak baik, maksiat.
Oleh yang demikian, kita dituntut memperbanyakkan ibadah dalam bulan Ramadhan supaya apabila keluar sahaja daripada bulan Ramadhan, kita akan dapat mendidik akal dan nafsu kita berbuat amal yang baik dan menjauhi larangan Allah.
Ibadah yang perlu diperbanyakkan dalam bulan Ramadhan ialah:
1. Solat Sunat Tarawih
Tingkatkan kualiti solat walaupun hanya 8 rakaat dan ambillah fadhilat qiyam yakni berdiri lama dalam solat.
2. Membaca Al-Quran
Bacalah Al-Quran dengan penuhu tartil serta fahami maknanya.
3. Sedekah Jariyah
Banyakkanlah sedekah dengan harapan kita dapat meringankan fakir miskin.
Wallahu a’lam…
1 orang tertinggal pesanan:
oh.. begini rupanya asal usul nama ramadhan ..menarik :)
Post a Comment