- Malam Ramadhan 2 -
Assalamu'alaikum...
Alhamdulillah... Segala pujian bagi Allah yang memberi aku kesempatan berpuasa dan bertarawih pada hari ini. Segala nikmat tersebut tidak dapat dikecapi melainkan hanya dengan izin-Nya sahaja. Sesungguhnya dengan keizinan itulah aku masih wujud di bumi Allah ini. Semoga dalam sepuluh Ramadhan yang awal ini, dapat aku jalani dalam keberkatan dan rahmat daripada-Nya.
Tanda Orang Yang Mendapat Rahmat
Sesungguhnya sepuluh Ramadhan yang pertama itu adalah kerahmatan, pada sepuluh yang pertengahannya pula adalah pengampunan dan pada sepuluh yang terakhir itu adalah pembebasan daripada api neraka. Sekarang kita sedang berada dalam sepuluh Ramadhan yang pertama iaitu kerahmatan. Bagaimana kita tahu bahawa seseorang itu mendapat rahmat? Tanda seseorang itu mendapat rahmat dalam bulan Ramadhan ialah dia berasa seronok dengan kedatangan Ramadhan Al-Mubarak ini. Kenapa dia seronok? Kerana dia dapat mencari keuntungan dengan menjual juadah-juadah berbuka puasa kepada orang ramai. Sudah tentulah tidak. Dia berasa seronok kerana dia dapat melipatgandakan amalannya dalam bulan barakah ini yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain. Beruntunglah bagi orang sepertinya yang mendapat rahmat Allah dalam bulan Ramadhan.
Puasa Menjadikan Orang Itu Bertaqwa
Apakah maksud puasa? Puasa itu ialah menahan diri dari lapar dan dahaga serta daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkannya dari terbit fajar (masuk waktu Subuh) sehinggalah terbenamnya matahari (masuk waktu Maghrib). Kata seorang doktor*, puasa juga dapat mendidik seseorang itu menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah. Bagaimana puasa dapat mendidik seseorang menjadi hamba yang bertaqwa?
1. Puasa dapat mendidik seseorang walau dalam apa jua keadaan sekalipun.
Ya. Amalan puasa dapat mendidik seseorang itu tidak kira di mana sahaja dia berada dan dalam keadaan apa sekalipun. Ingat kembali sirah Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam di mana ada seorang sahabat telah pergi berperang. Beliau menghadapi musuh sehingga ada anggota badannya dipotong. Ketika perang berakhir, seorang pembawa air telah pergi untuk memberi minum kepadanya. Tetapi beliau tidak mahu minum kerana pada ketika itu beliau sedang berpuasa. Lihatlah bagaimana seorang yang sedang berperang, cedera parah mempertahankan puasanya. Malulah kita ini yang berada dalam sihat wal'afiyat dan di negara yang tiada perang jika kita tidak berpuasa, apatah lagi dalam bulan Ramadhan. Malulah kita pada anak kecil yang sudah mula belajar berpuasa, menahan daripada makan dan minum sedangkan kita pula masih curi-curi untuk tidak berpuasa. Astaghfirullahal 'azim...
2. Puasa dapat mencetuskan jiwa yang sensitif.
Puasa mendidik, mengajar jiwa seseorang menjadi lebih sensitif, lebih mempedulikan orang lain. Jiwa orang berpuasa menjadi lebih sensitif kerana dia dapat merasai apa yang orang lain rasakan. Jika ada kelompok yang kelaparan, dia akan memberi makan kepada mereka. Diceritakan bahawa penghuni syurga telah bertanya kepada penghuni di neraka, mengapa dia dimasukkan ke dalam neraka. Penghuni neraka menjawab di waktu hidupnya dahulu, dia tidak pernah memberi makan kepada orang-orang miskin. Kita hidup di dunia hanya sebagai hamba sahaja. Apa yang kita peroleh, kita kongsikannya dengan orang lain. Bersedekah merupakan satu amalan yang ringkas, berikan sahaja apa yang kita mampu. Tetapi ramai yang berasa susah melaksanakannya kerana dikhuatiri akan berkurang. Bukankah telah dinyatakan bahawa jika bersedekah, maka akan digandakan lagi. Tidak yakinkah kita dengan ayat tersebut?
3. Puasa dapat mengekang nafsu syahwat.
Sebagaimana yang kita tahu sejarah nafsu dicipta oleh Allah, nafsu adalah paling lemah dengan puasa, iaitu tak makan dan tak minum. Apabila kita berpuasa, nafsu kita menjadi lemah kerana lapar dan dahaga. Nafsu itu ialah keinginan, kehendak. Jika seseorang membuat apa sahaja mengikut nafsu syahwatnya, maka binasalah hidupnya. Jika seorang pemimpin memerintah negaranya mengikut hawa nafsunya, maka rosaklah negaranya, sengsaralah rakyatnya. Apabila nafsu lemah, roh kita akan menjadi kuat. Oleh sebab itu, semasa berpuasa dalam bulan Ramadhan, kita akan lebih bersemangat untuk mengerjakan ibadah seperti bertarawih, membaca Al-Quran dan bersedekah. Dinyatakan dalam hadith, Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam menyuruh kita makan bila lapar, berhenti sebelum kenyang. Kenapa kena berhenti sebelum kenyang? Kerana, untuk memberi ruang kepada roh kita mengerjakan ibadah. Jika kita sudah kekenyangan, semestinya nafsu yang berkuasa, roh yang akan lemah. Oleh itu, ambillah kesempatan dalam bulan Ramadhan ini untuk mendidik nafsu supaya mengikut roh melakukan amalan-amalan soleh.
4. Puasa dapat mendisiplinkan diri.
Orang yang berpuasa memperolehi peluang untuk menjadikan diri mereka lebih berdisiplin dalam melakukan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Kita dapat melihat secara mudah, apabila seseorang itu berpuasa, dia akan menahan dirinya daripada lapar dan dahaga serta perkara yang membatalkan puasa bermulalah dari masuk waktu Subuh hingga masuknya waktu Maghrib. Nak berbuka puasa awal seminit pun tidak boleh. Seorang yang bertaqwa kepada Allah tidak akan melakukan perkara yang dilarang oleh Allah walaupun dia berada berseorangan atau berkumpulan. Kerana dia ada hubungan dengan Allah, dan percaya bahawa segala gerak-gerinya diperhatikan oleh Allah.
Begitu mudahnya jalan untuk mencapai taqwa kepada Allah. Segalanya dapat dicapai sekiranya kita memiliki keikhlasan dan usaha dalam melakukan perintah-Nya. Ingatlah bahawa tidak sempurna Islam kita jika berpuasa dalam bulan Ramadhan tidak diamalkan kerana amalan tersebut merupakan sebahagian daripada Rukun Islam. Sementara masih berpeluang, kejarlah cita-cita kalian yang ingin dicapai dalam Madrasah Ramadhan ini. Semoga memperolehinya dalam ketiga-tiga fasa dalam bulan Ramadhan itu nanti. Insyaallah...
Akhir kalam,
Akhir kalam,
Wallahu a'lam...
*tidak ingat nama doktor demikian. Maaf atas kekhilafan ini.
*tidak ingat nama doktor demikian. Maaf atas kekhilafan ini.
0 orang tertinggal pesanan:
Post a Comment