- Malam Ramadhan 19 -
Assalamu’alaikum…
Semua orang dah tahu bukan tujuan kita berpuasa ini? Supaya kita bertaqwa pada Allah. Lebihkan rasa takut kepada Allah. Apabila kita bertaqwa kepada-Nya, kita akan melakukan yang diperintahkan, meninggalkan kerja yang dilarang. Jadi, sekarang kita berpuasa, kita sedang melakukan perintah Allah yang disuruh. Namun, adakah larangan Allah kita sudah tinggalkan? Fikir-fikirkan…
Ibadah puasa mengajar manusia mengawal nafsu yang sedang lemah supaya mengikut kehendak Allah. Apabila kita berpuasa, mudah bagi kita untuk memperbanyakkan ibadah kepada Allah, kurang rasa malas. Apabila nafsu mula menjadi lemah, ini bermakna roh kita dalam keadaan lebih kuat daripada nafsu, membuatkan kita bersemangat dalam beribadah. Namun apabila bulan Ramadhan, ada yang malas mengerjakan ibadah. Kerana apa? Kerana ponteng puasa. Apabila sudah ponteng puasa, ibadah lain apatah lagi. Ada juga yang berpuasa, tetapi hanya dapat lapar dan dahaga. Fadhilat puasa dan ibadah lain tidak dapat. Alangkah ruginya jika kita sendiri berada dalam golongan yang seperti ini.
Puasa Mendidik Manusia Beramanah
Adakah kita sedar ibadah puasa ini melibatkan antara kita sendiri dengan Allah? Tidak seperti ibadah lain seperti solat, zakat dan haji, yang mana orang lain boleh nampak kita sedang melakukannya. Kita ‘boleh’ ponteng puasa, orang lain tidak tahu. ‘Boleh’ curi-curi makan di belakang orang. Hatta dalam kereta pun, semasa memandu, ‘boleh’ lagi menelan seteguk air jika rasa haus. Dalam tandas apatah lagi. Orang lain tak nampak apa yang kita buat tetapi Allah Maha Melihat setiap apa yang kita lakukan dan Allah Maha Mengetahui apa yang kita akan lakukan.
Oleh itu, bagi yang sedar, ibadah puasa itu mendidik mereka supaya menjadi lebih amanah dalam setiap kerja yang dilakukan tidak kira ia melibatkan ibadah atau pun tugas di pejabat. Amanah janganlah dipandang ringan kerana manusia yang tidak beramanah akan merosakkan kepercayaan orang lain terhadapnya. Sekali kepercayaan dikhianati, sehingga bila pun orang susah hendak mempercayai kita lagi. Sebab itulah apabila kita ini diamanahkan terhadap sesuatu pekerjaan, lakukan dengan baik. Orang yang beramanah akan mendapat kepercayaan ramai orang sekalipun orang itu adalah musuhnya.
Tidakkah kita perlu mencontohi Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam yang mana salah satu sifat yang wajib bagi Rasul adalah amanah? Amanah dalam menjalankan perniagaan, amanah dalam menjadi pemimpin. Ketika menjalankan perniagaan Siti Khadijah, Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam beramanah dalam berniaga. Tidak pernah menipu peniaga apatah lagi menggelapkan wang perniagaan. Tidak hairanlah Nabi Muhammad Sollallahu ‘alaihi Wasallam diberi gelaran Al-Amin (yang dipercayai). Sahabat Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam, Saiyyidina Abu Bakar As-Siddiq membenarkan setiap apa yang diucapkan oleh Baginda. Contohilah sifat amanah Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam sebagaimana yang firman Allah dalam Surah Al-Ahzab, ayat 21, yang bermaksud,
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). “
Pemimpin Perlu Adil
Pemimpin yang amanah sentiasa meletakkan keadilan di hadapannya. Dia sedar bahawa tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin amatlah berat. Menjadi pemimpin bukanlah cita-citanya, tetapi dirinya dilantik memikul tanggungjawab itu. Sabda Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam kepada Abdur Rahman bin Samurah, yang bermaksud,
“Hai Abdur Rahman! Janganlah engkau meminta-minta hendak jadi pembesar negara kerana jika engkau jadi pembesar kerana permintaan, tanggungjawabmu akan besar sekali. Dan jika engkau diangkat tanpa permintaan, engkau akan dibantu orang dalam tugasmu.”
Riwayat Muslim
Orang yang beramanah akan adil dalam pentadbirannya. Tidak kira siapa, sama ada orang berpangkat besar, atau kaya raya, tetap akan menghadapi perbicaraan yang adil. Diceritakan bahawa seorang Yahudi telah mencuri baju besi Khalifah Ali bin Abu Talib dan hal ini diketahui oleh Khalifah Ali bin Abu Talib. Lalu beliau membawa orang Yahudi itu bertemu dengan hakim, Syuraih. Khalifah Ali bin Abu Talib memberitahu hakim bahawa orang Yahudi ini mencuri baju besinya.
Lalu, Syuraih bertanya kepada Khalifah Ali bin Abu Talib, “Apakah engkau mempunyai saksi?”.
Khalifah Ali bin Abu Talib menjawab, “Ada. Hassan dan Hussain”
Syuraih tidak menerima penyaksian kedua-duanya kerana Hassan dan Hussain adalah anak Khalifah Ali bin Abu Talib. Maka, Syuraih pun melepaskan orang Yahudi itu kerana Khalifah Ali bin Abu Talib tidak ada saksi untuk membuktikan tuduhannya. Mendengar keputusan itu, orang Yahudi itu mengakui bahawa baju besi itu milik Khalifah Ali bin Abu Talib dan memeluk Islam.
Keadilan yang dibawa oleh Syuraih tadi, menunjukkan bahawa Islam mengajar orang-orang Islam berlaku adil terhadap sesiapa sahaja, tidak pilih kasih. Faktor Islam berkembang dan tersebar hampir seluruh dunia antaranya adalah pemimpin yang amanah dan adil.
Namun pemimpin masa kini, semuanya mengejar pangkat yang tinggi-tinggi. Siapa yang berada paling atas, dialah yang berkuasa. Tiada siapa dapat menghalang. Dan dialah yang selalu menang. Siapa yang berada di bawahnya perlu mengikut apa jua perintahnya. Jangan ditegur, kerana setiap teguran terhadapnya akan membawa padah. Jarang sudah kita mendapati pemimpin yang mengambil berat terhadap rakyatnya. Mementingkan keperluan rakyatnya lebih daripada keperluannya. Setiap masalah rakyatnya, didengari dan diselesaikan dengan hikmah dan bijaksana. Beginilah ciri-ciri pemimpin yang dicari, kerana pemimpin ini, dambaannya bukanlah harta dan pangkat tetapi keredhaan Allah Subhanahu Wata’ala.
Jangan lupa, kita juga ada amanah yang patut kita jaga dengan baik. Firman Allah dalam Surah Al-Anfal, ayat 27, yang bermaksud,
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”
Wallahu a’lam…
0 orang tertinggal pesanan:
Post a Comment