- Malam Ramadhan 11 -
Assalamu'alaikum...
Firman Allah dalam memerintahkan umat Islam supaya berpuasa sebulan dalam bulan Ramadhan, yang bermaksud,
“Wahai orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa (Ramadhan) sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertaqwa.”
Surah Al-Baqarah, ayat 183
Ayat Al-Quran yang memerintahkan kita berpuasa dalam bulan Ramadhan selalu kita mendengarnya di kala hampirnya Ramadhan, dan dalam bulan Ramadhan sekalipun, kita masih lagi mendengarnya, membacanya. Tujuan Allah menuntut kita supaya kita berpuasa dalam bulan Ramadhan adalah untuk mendidik kita supaya menjadi orang Islam yang bertaqwa. Supaya kita dapat mencapai ketaqwaan itu dalam masa sebulan kita ditarbiyahkan dengan lapar dan dahaga, menundukkan nafsu supaya mengikut iman dan memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang mana dilipatgandakan ganjarannya, yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain.
Terdapat SEMBILAN sifat orang yang bertaqwa kepada Allah sebagaimana yang disebut dalam firman-Nya, yang bermaksud,
“(Mereka itu ialah): Orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian).”
Surah At-Taubah, ayat 112
1. Orang yang bertaubat
Orang yang bertaubat ialah orang yang meminta selalu meminta ampun kepada Allah, dan mengharapkan keampunan-Nya. Apabila dia membuat sebarang kesalahan, sesuatu kesilapan, dengan segera dia bertaubat dengan sebenar-benar taubat, bukanlah dengan sebenar-benar tau-buat. Dengan kesempatan yang ada dalam bulan Ramadhan ini, dia mengambil peluang ini dengan bertaubat kepada Allah atas dosa-dosanya yang lalu. Yang mana dalam sabda Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam ada menyebut dalam bulan Ramadhan ini di pertengahannya adalah keampunan. Di mana Allah telah membuka pintu keampunan, pintu taubat-Nya seluas-luasnya untuk hamba-Nya yang berdoa memohon keampunan daripada-Nya.
2. Orang yang beribadat
Orang ini sentiasa mengabdikan diri kepada Allah, sentiasa mengingati Allah tidak kiralah di mana jua dia berada dan apa jua keadaannya sekalipun. Apabila dia melihat alam semula jadi ciptaan Allah, dia ingat pada-Nya. Dalam bulan Ramadhan, dari saat dia bangun untuk bersahur, kemudian bersolat Subuh. Pada waktu siangnya, bersolat Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak serta bertarawih di malamnya. Segala-galanya dalam satu hari kehidupan tersebut apa yang dibuatnya adalah ibadah. Menjaga pancaindera pada waktu siangnya daripada melakukan kemungkaran dan pada sebelah malamnya, dia berqiyamullail. Orang yang suka beribadat tidak meninggalkan yang wajib, dan mengwajibkan bagi dirinya melakukan yang sunat. Semua itu kerana siapa? Kerana Allah Subahanahu Wata’ala.
3. Orang yang memuji Allah
Lidah dan hatinya tidak lekang daripada memuja dan memuji Allah. Ketika melihat keindahan flora dan fauna, kehebatan ciptaan langit dan bumi, dia memuji Allah. Tatkala selepas solat, dia berwirid, bertasbih, bertahmid, bertakbir dan bertahlil untuk memuji Allah. Dia menyedari bahawa dirinya adalah hamba, Allah itu Penciptanya. Dia tidak pernah berhenti memuji Allah sebagaimana makhluk-makhluk Allah yang sentiasa bertasbih memuji-Nya. Sebagaimana firman Allah,
“Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah Yang Menguasai (sekalian alam), Yang Maha Suci, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Surah Al-Jumu’ah, ayat 1
4. Orang yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam)
Orang ini berjuang mengembangkan syiar Islam yang mana ia menjadi jihad untuknya. Orang yang mengembara menuntut ilmu bisa mengembangkan syiar Islam dengan ilmunya. Khalifah Umar Al-Khattab, sebelum tidur, beliau bermuhasabah. Bertanya pada dirinya, sudah berapa ramaikah beliau menceritakan tentang Islam. Cuba kita bertanya kepada diri kita, berkalikah kita berbicara tentang Islam kepada orang yang kita kenal, dan yang tidak kita kenal? Menyebarkan syiar Islam bukan sahaja di masjid, tetapi di kedai kopi pun boleh, asalkan ada ilmu untuk dikongsi. Berfikir mengikut nas Al-Quran dan As-Sunnah, bukan mengikut hawa nafsu dan akal semata-mata.
5. Orang yang rukuk
Orang yang sentiasa rukuk (bukan rokok na…) ialah orang yang sentiasa patuh kepada perintah Allah. Manusia diciptakan dan dijadikan khalifah di bumi Allah. Manusia dipertanggungjawabkan menggunakan nikmat Allah dengan sebaik-baiknya serta menjadi hamba Allah yang sentiasa taat dan patuh pada-Nya. Semaikan rasa malu dalam hati kita ini untuk berbuat perkara yang tidak baik kerana orang yang patuh pada perintah Allah itu tahu bahawa dirinya sentiasa diperhatikan dan dicatatkan segala amalannya di dunia. Orang yang seperti ini hidupnya sentiasa diberkati.
Diceritakan tatkala surat Khalifah Sulaiman dibaca oleh Umar Abdul Aziz, beliau (Umar) menangis. Isterinya bertanya kenapa suaminya menangis. Umar Abdul Aziz memberitahu bahawa Khalifah Sulaiman melantiknya menjadi Khalifah yang seterusnya. Isteri Umar berkata sepatutnya beliau gembira dengan perlantikan tersebut. Lalu Umar Abdul Aziz membaca hadith-hadith Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam tentang pemerintah yang zalim yang mana akan dimasukkan ke neraka dahulu berbanding orang-orang kafir. Kemudian, isterinya pun turut menangis. Tahun kedua pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz, tiada seorang dari golongan asnaf pun menerima zakat. Bukanlah kerana beliau seorang pakar ekonomi yang membolehkan rakyat hidup kaya-raya tetapi kerana pemerintahannya itu dalam keberkatan Allah.
6. Orang yang sujud
Orang yang sentiasa sujud kepada Allah ialah orang yang banyak bersolat. Solat yang fardhu dia tidak tinggalkan, dan yang sunat menjadi wajib bagi dirinya untuk menunaikannya. Tidak keseluruhan malamnya digunakan untuk berehat. Sepertiga malam untuk rehat, sepertiga lagi untuk menuntut ilmu dan sepertiga lagi untuk berqiyamulail. Apatah lagi di bulan Ramadhan ini, dia memperbanyakkan solat sunat seperti solat sunat tawrawih, tasbih, taubat, tahajud, witir, qabliyyah dan ba’diyyah. Ambillah peluang ini untuk kita memperbanyakkan solat-solat sunat tidak kira di siang ataupun di malam hari.
7. Orang yang menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat jahat
Orang yang menyuruh berbuat baik itu satu. Orang melarang berbuat jahat itu satu. Kedua-duanya perlu menjadi seiring. Orang seperti ini mengajak orang lain juga menjadi baik sepertinya. Tidaklah hanya dia seorang sahaja menjadi baik. Akhlak beginilah yang menjadikan setiap umat Islam itu bersatu padu kerana masing-masing mengajak ke arah kebaikan, dan melarang ke arah kejahatan.
Contohilah Nabi Muhammad Sollallahu ‘alaihi Wasallam. Baginda mengajak sahabat-sahabatnya berbuat baik. Baginda menegur sahabatnya yang berbuat silap. Dan Baginda mencegah sahabatnya daripada berbuat kejahatan. Baginda mendidik umatnya dengan doa. Pelbagai doa yang diajarkan oleh Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam. Daripada mulanya bangun tidur, hinggalah kita tidur semula, setiap daripada kegiatan harian kita ada doanya. Hatta keluar masuk bilik air pun ada doanya. Supaya kita semua selalu dekat kepada Allah.
8. Orang yang menjaga batas-batas hukum Allah
Orang yang bertaqwa sentiasa menjaga batas-batas syariat yang telah ditetapkan oleh Allah. Mereka ini akan sentiasa berhati-hati dalam tingkah laku dan percakapan mereka. Dikhabarkan bahawa sehinggakan Khalifah Umar Al-Khattab mengibaratkan orang-orang yang bertaqwa ini adalah orang yang berjalan di atas jalan yang penuh duri. Mereka akan sentiasa berhati-hati berjalan agar tidak terpijak duri tersebut.
Demikianlah sembilan sifat orang yang bertaqwa. Dikhabarkan bahawa Ibnu Abbas pernah berkata barangsiapa dapat mencapai kesemua sifat tersebut, maka syurgalah ganjarannya.
Mudah-mudahan salah satu daripada sifat-sifat ini, ada pada kita. Jika kita sentiasa beristiqamah setiap satu daripadanya, sedikit demi sedikit, Insyaallah tercapailah tujuan madrasah Ramadhan iaitu menjadi orang yang bertaqwa.
Wallahu a’lam…
0 orang tertinggal pesanan:
Post a Comment