Wednesday, August 10, 2011

- Malam Ramadhan 5 -

Assalamu'alaikum...

Setiap umat Islam, di dalam hatinya telah disematkan satu barang yang mulia, yakni taqwa. Cuma, rasa bertaqwa itu masih belum berfungsi di hati sesetengah umat Islam sekarang. Taqwa itu apa bendanya? Taqwa itu adalah rasa gerun, rasa takut kepada Allah, yakni melakukan segala yang disuruh, meninggalkan segala yang dilarang. Taqwa ini jugalah yang menjadi penghubung antara seorang hamba itu dengan Allah. Orang yang belum Islam tiada taqwa di hati mereka.

Kisah Jaafar Bin Abi Talib Si Panglima Perang

Dalam konteks Ramadhan, taqwa itu dapatlah dibina, dikukuhkan, dibangunkan dengan puasa. Puasa menjadikan seseorang itu bertaqwa kepada Allah. Masih ingatkah lagi kisah seorang sahabat Nabi yang mempertahankan puasanya walaupun dirinya sudah nazak? Dialah Jaafar bin Abi Talib. Seorang panglima perang yang bukan calang-calang orangnya, yang syahid dalam keadaan berpuasa. Dalam peperangan tersebut, anggota badan beliau telah dipotong kerana cuba mempertahankan panji Islam yang dipegangnya supaya tidak jatuh ke bumi. Musuh Islam cuba menjatuhkan panji-panji Islam ini kerana ia dapat melemahkan kekuatan tentera-tentera Islam. Jika satu tangan Jaafar dipotong, beliau pegang dengan tangan yang lagi satu. Jika satu lagi itu dipotong, beliau memeluk panji Islam dengan baki tangan yang ada supaya tidak jatuh. Setelah peperangan berakhir, seorang pembawa air telah pergi kepada Jaafar bin Abi Talib yang sedang nazak ini. Si pembawa air itu memberi air, tetapi Jaafar bin Abi Talib menolak kerana beliau berpuasa. Betapa tingginya taqwa dalam hati sahabat Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam ini.

Puasa membentuk jati diri seorang Muslim itu supaya berdisiplin dalam mengikut perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Orang yang di dalam hatinya itu ada taqwa, dia tidak akan menyegerakan berbuka puasa jika belum waktu berbuka puasa walau awal seminit pun. Dalam ayat Allah yang memerintahkan supaya berpuasa dalam bulan Ramadhan dimulai dengan "Wahai orang yang beriman...". Kenapa dimulai dengan ayat tersebut? Kerana orang yang beriman, yang bertaqwa kepada Allah jualah yang akan melakukan perintah tersebut, berpuasa dalam bulan Ramadhan. Orang yang tidak beriman, tidak bertaqwa tidak akan menurut perintah tersebut. Orang-orang seperti ini akan sentiasa mencari jalan untuk melanggar perintah Allah, mencuri makan dalam bulan Ramadhan.

Kisah Saidatina Aisyah Meninggal Dalam Berpuasa

Diceritakan bahawa Saidatina Aisyah Radhiyallahu 'anha, isteri Rasulullah Sollallahu 'alaihi Wasallam juga sentiasa berdoa kepada Allah supaya dimatikan dalam keadaan beliau sedang berpuasa. Allah perkenankan doanya. Ketika beliau sedang menghampiri kematian, orang-orang yang berada di sekeliling beliau, menyuruhnya supaya meminum air. Saidatina Aisyah bertegas tidak mahu minum keran beliau juga sedang berpuasa. Beliau menyatakan bahawa selama berpuluh tahun beliau berdoa, itulah peluang yang ada. Akhirnya beliau meninggal dunia dalam keadaan berpuasa di bulan Ramadhan.

Kisah Sayidina Uthman Bin Affan Berbuka Di syurga

Apa istimewanya mati ketika berpuasa ini? Orang yang mati ketika berpuasa ini, dia akan berbuka puasa di syurga sana. Selain itu, dengan berpuasa, akan dapat membersihkan segala bahan-bahan cernaan dalam perut kita. Sebab itulah semoleknya orang yang hendak menjalani pembedahan digalakkan berpuasa. Diceritakan lagi bahawa Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam berdoa sambil menunjukkan jari telunjuk Baginda ke arah Saidina Uthman bin Affan. Beliau bertanya kepada Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam akan sebab Baginda berbuat demikian. Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam menyatakan bahawa beliau akan dikepung oleh orang-orang yang munafiq yang hendak membunuh beliau. Dan Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam berpesan jangan sesekali berbuat apa-apa pada mereka.

Setelah Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam wafat, berlalunya zaman Khalifah Abu Bakar As-Siddiq, berlalunya zaman kegemilangan Khalifah Umar Al-Khattab, dan tibanya zaman Khalifah Uthman bin Affan. Di akhir zaman pemerintahannya, ketika itu Khalifah Uthman bin Affan sedang berpuasa. Usai beliau membaca Al-Quran, beliau dapati dirinya dikepung oleh sekumpulan orang munafiq yang mahu membunuhnya. Beliau teringat supaya tidak berbuat apa-apa kepada mereka sekalipun pada waktu itu beliau mampu mengangkat tenteranya memerangi mereka. Lalu beliau tertidur dan bermimpi bertemu Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam. Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam bertanya kepadanya, adakah beliau mahu Baginda berdoa kepada Allah supaya orang-orang munafiq itu ditewaskan atau berbuka puasa dengan Baginda. Khalifah Uthman bin Affan memilih pilihan yang kedua. Akhirnya beliau meninggal dunia kerana dibunuh orang-orang munafiq. Dapatlah Khalifah Uthman bin Affan berbuka puasa dengan Baginda. Begitulah sikap orang-orang yang bertaqwa, menjunjung perintah Allah setinggi-tingginya melebihi segala apa yang ada di muka bumi ini.

Ittaqillah

Diceritakan pula seorang wanita keluar dari rumahnya pergi membeli buah. Selepas mencari buah yang elok tidak dijumpainya, wanita tersebut meminta si penjual buah yang lebih elok. Lalu penjual mengajak wanita tersebut ke rumahnya untuk mendapatkan buah yang elok. Sampainya di rumah, penjual itu mengajak wanita masuk ke dalam rumahnya. Setelah memasuki rumah tersebut, penjual buah itu mengunci pintu. Niatnya adalah berbuat yang tidak baik kepada wanita itu. Si penjual hanya sempat memeluk dan mencium wanita itu seraya wanita itu berkata “Ittaqillah”. Takutlah kepada Allah. Tersentak dengan teguran itu, si penjual berhenti berbuat demikian. Orang Islam memiliki taqwa di hati mereka. Apa yang mereka perlukan adalah satu titik tolak untuk membolehkan taqwa itu dirasai.

Apabila taqwa dalam hati seorang manusia itu berfungsi, maka lahirlah rasa gerun, takut kepada Allah. Di kala dia berseorangan, di kala dia berkumpulan hatta bermusafir pun, masih ada dalam hatinya rasa taqwa itu. Oleh yang demikian, kita semua perlulah meningkatkan taqwa dalam hati agar tidak lenyap begitu sahaja. Pergilah ke masjid untuk solat berjemaah. Jika boleh setiap waktu solat. Semoga taqwa itu mendapat tempat yang utama dalam hati kita.

Wallahu a'lam…

0 orang tertinggal pesanan:

  © Free Blogger Templates Spain by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP