Wednesday, August 03, 2011

- Malam Ramadhan 3 -

Assalamu'alaikum...

Alhamdulillah... Ada lagi aku di sini. Ada peluang untuk aku membuat satu entri lagi. Sebagaimana dua entri sebelum ini, sumbernya yang aku dapat adalah daripada tazkirah di Masjid Nurul Ehsan, Langgar yang disampaikan oleh tiga orang ustaz setakat ini. Entri kali ini pun bersumberkan tazkirah di masjid tersebut. Semoga bermanfaat. Jika ada salah dan silap dalam entri 'Malam Ramadhan' tersebut, diminta tegurlah aku.

Orang Yang Bodoh

Zaman sekarang kebanyakan orang Islam telah dilanda dengan satu sifat yang tidak sepatutnya dimiliki, iaitu kebodohan. Mengapa begitu? Kerana orang bodoh itu adalah orang tidak tahu agama, jahil tentang Islam, tidak tahu tentang Islam. Rasulullah Sollallahu 'alaihi Wasallam pernah bersabda, "Orang yang paling bijak ialah orang yang lihat kekurangan diri dan menyediakan amalan-amalan untuknya selepas dia mati.". Orang yang bijak akan mempersiapkan dirinya dengan ilmu-ilmu akhirat, bukan sahaja ilmu keduniaan semata-mata. Hatta biarpun dia orang yang paling bijak dalam bidang-bidang keduniaan, tetapi jika dia tidak tahu bab agama, dia tetap dipanggil orang yang bodoh. Apabila orang bodoh bercakap tentang agama, maka rosak habislah. Mahu kita jadi sebegitu rupa? Jika tidak mahu menjadi orang yang bodoh, pergilah belajar tentang Islam, tentang feqah, tentang tauhid.

Oleh itu menuntut ilmu ini wajib bagi setiap umat Islam. Hatta ketika hendak keluar berperang (perang selepas Perang Badar) pun, Allah menyuruh Rasulullah Sollallahu 'alaihi Wasallam meninggalkan sebahagian orang Islam di Madinah dan sebahagian lagi pergi berperang. Supaya sebahagian yang tinggal di Madinah itu menuntut ilmu-ilmu agama. Dan apabila sebahagian yang keluar telah kembali dari berperang, maka mereka (yang tinggal di Madinah) akan mengajar sebahagian itu ilmu-ilmu agama. Nampak atau tidak penegasan Allah dalam menuntut ilmu agama ini? Seperti mana firman Allah dalam Surah At-Taubah, ayat 122,

"Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)."

Ilmu Allah itu luas, galilah ia sedalam-dalamnya sehingga ke hujung bumi, carilah ia hingga ke hujung dunia.

Allah Menciptakan Segala-galanya

Dalam ayat-ayat Al-Quran, Allah telah menyatakan perintah-Nya secara terus dan besertakan alasan. Allah menyuruh kita menyembah hanya Dia sahaja kerana Dia sahajalah yang selayaknya disembah atas sebab-sebab berikut,

"Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa. Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya) dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa)."
Surah Al-Baqarah, ayat 21-22

Dalam ayat tersebut Allah memerintahkan kita menyembah hanya Dia sahaja. Kerana Allah telah pun menciptakan diri kita ini. Adakah kita mampu menciptakan diri kita sendiri? Terjadinya diri kita kerana Allah. Penciptaan manusia begitu menakjubkan. Sampai manusia sendiri pun tidak mampu mencipta bahagian anggota manusia sama seperti yang diciptakan oleh Allah. Lagi, Allah menyatakan bahawa Dia menciptakan bumi untuk kita sebagai tempat mencari rezeki di serata tempat. Dan Allah menjadikan langit untuk menjadi bumbung dan pelindung daripada sinaran cahaya matahari. Di celah-celah langit itu pula, diturunkan hujan untuk menyuburkan tanaman-tanaman di bumi. Hasil daripada itu, pokok-pokok berbuah dan sekalian manusia dapat menikmatinya. Cukup ringkas alasan-alasan yang dikemukakan kepada kita. Tetapi mengapa masih ramai yang enggan menyembah-Nya? Mengapa masih ramai umat Islam lalai dalam melakukan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang? Fikir-fikirkan...

Allah Tidak Memberatkan Hamba-Nya

Dalam melaksanakan perintah Allah, sikitpun Allah tidak memberatkan hamba-hamba-Nya. Seperti firman Allah dalam Surah Al-Hajj, ayat 78,

"....Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya) dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim."

Amalan puasa ini mudahlah dilaksanakan. Tak makan, tak minum, tak buat perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hinggalah terbenamnya matahari. Nampak mudahkan? Hanya kita sahaja yang nampak amalan-amalan baik ini payah dilakukan. Datangnya Ramadhan, semua orang Islam berpusu-pusu pergi ke masjid menunai solat Tarawih secara berjemaah. Apabila di hujung Ramadhan, masjid mula menjadi 'cerah'. Kalau awal Ramadhan kita kena berebut-rebut saf, tetapi apabila tiba hujung Ramadhan, dekat nak raya, berlenggang sahaja masuk dalam saf. Tak perlu berebut-rebut macam yang di awal Ramadhan. Dalam ayat di atas juga Allah telah menyatakan bahawa kita ini telah dipilih untuk memikul tanggungjawab sebagai hamba-Nya di dunia ini. Sebagai seorang Islam, kita wajib patuh pada perintah-Nya, melakukan segala suruhan-Nya seperti solat, puasa, zakat, sedekah dan sebagainya. Dalam tiap-tiap amalan tersebut, Allah tidak memberatkan sedikitpun untuk kita melaksanakannya.

Oleh itu, nak melaksanakan amalan-amalan ini kena pergi mengaji agama dulu. Kalau tidak, jadi orang bodohlah kita ini seperti yang telah dinyatakan sebelum ini.

Wallahu a'lam...

0 orang tertinggal pesanan:

  © Free Blogger Templates Spain by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP