Wednesday, August 10, 2011

- Malam Ramadhan 7 -

Assalamu'alaikum...

Kesihatan merupakan satu asas yang penting buat sekalian manusia. Manusia yang sihat akan dapat melakukan bermacam-macam pekerjaan. Berbanding dengan manusia yang sakit, mereka ini amat lemah sekali dalam melakukan kerja apatah lagi kerja yang berat. Oleh itu, Islam menuntut sekalian umatnya menjaga kesihatan jasmani dan rohani. Akal yang sihat itu terletaknya pada jasmani yang sihat.

Sikap mengamalkan puasa juga merupakan amalan yang menjaga kesihatan. Seperti yang kita ketahui bahawa amalan berpuasa merehatkan perut dan pengaliran darah. Seperti kebiasaan selepas kita makan, darah diperlukan di bahagian perut kita untuk membantu memproses makanan yang ada di dalamnya. Jadi, selepas makan, kita dikehendaki berehat dahulu sebelum melakukan kerja-kerja yang lain kerana pada waktu itu pengaliran darah tertumpu pada perut. Selepas beberapa ketika, barulah seseorang itu dapat memulakan kerja hariannya. Seperti orang yang selepas makan pergi berenang. Kerana waktu itu darah diperlukan pada bahagian perut, maka jumlah darah tidak cukup untuk mengalir ke bahagian anggota badan yang lain. Hal demikian boleh menyebabkan anggota badan seperti kaki kekejangan (Boleh bertanya kepada ahli perubatan).

Berbuka Dengan Buah Tamar

Seperti yang aku pernah katakan dalam entri ‘Malam Ramadhan’ sebelum ini, orang yang akan menjalani pembedahan diharuskan berpuasa. Kerana ketika pembedahan nanti, badan manusia akan mengalami trauma kerana akan dibedah. Oleh yang demikian, badan manusia memerlukan rehat sebelum pembedahan. Semasa berbuka puasa, kita digalakkan memulakan dengan buah tamar/kurma atau yang manis-manis. Dengan makan buah tamar, ia akan mengalirkan tenaga kepada badan dengan cepat. Itulah kelebihan buah tamar berbanding dengan makanan manis yang lain. Selepas Maryam bersalin, melahirkan Nabi Isa, Allah menyuruhnya menggoncang pohon kurma, dan memakan buah kurma yang jatuh tersebut untuk memulihkan tenaganya kembali.

Sebagai umat Islam, kita digalakkan sentiasa dalam keadaan sihat berbanding sakit. Ya, sakit itu merupakan sebahagian daripada ujian. Tetapi Allah lebih menyukai hamba-Nya yang sihat berbanding sakit kerana orang yang sihat dapat beribadat lebih lagi kepada Allah. Sabda Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam ada pernah menyebut ingat lima sebelum lima, yang di antaranya ialah sihat sebelum sakit. Maka hendaklah kita bersyukur kerana dikurniakan kesihatan yang baik dan menggunakannya dengan sebaiknya, sebelum datangnya sakit di kemudian hari.

Keruntuhan Akhlak Di Kalangan Umat Islam

Jika kita pernah membaca surat khabar sebelum ini ada menyatakan bahawa seorang ibu terkejut melihat anaknya tidur bersama lelaki lain (bukan ajnabi) ketika waktu sahur. Dalam teori aisberg, bayangkan masalah keruntuhan akhlak itu tadi di puncak aisberg, tetapi di bawahnya masih lagi terdapat banyak masalah keruntuhan akhlak yang berlaku. Tak perlu pergi melihat jauh, hanya di Malaysia sahaja kita dapati bahawa ramainya di antara kita masih berada di kelab-kelab malam dan tempat-tempat maksiat yang lain hatta dalam bulan Ramadhan sekalipun. Bagaimana kita mahu mengurangkan masalah sosial yang sedang berlaku sekarang? Fikir-fikirkan…

Wallahu a'lam…

0 orang tertinggal pesanan:

  © Free Blogger Templates Spain by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP