Saturday, August 13, 2011

- Malam Ramadhan 12 -

Assalamu'alaikum...

Alhamdulillah… Itu yang perlu kita ucapkan pada setiap kali kita selesai melakukan sesuatu pekerjaan. Segala puji bagi Allah Tuhan yang menciptakan alam ini dengan tiada cacat celanya serta memberi keizinan kepada kita kesempatan melakukan setiap pekerjaan hingga selesai. Dan kini, kita berada pada malam Ramadhan yang ke-12, telah pun memasuki hari kedua buat fasa kedua Ramadhan.

Jadilah Yang Bersyukur

Banyakkan bersyukur kepada Allah melimpahkan rahmat dan kurniaan-Nya kepada kita. Apakah kita menggunakan segala nikmat dengan sebaiknya sebagai tanda syukur kita kepada Allah? Sebagaimana yang diceritakan bahawa satu hari semasa Khalifah Umar Al-Khattab sedang melakukan tawaf, beliau terdengar seorang pemuda berdoa memohon, “Ya Allah, Jadikan aku ini dari golongan yang sedikit.” Setelah selesai melakukan tawaf, Khalifah Umar Al-Khattab pergi bertanya kepada pemuda itu, “Kenapa berdoa sedemikian?” Pemuda itu menjawab, “Ya Amirul Mukminin, aku berdoa supaya dijadikan dari golongan yang sedikit kerana golongan yang sedikit itulah golongan yang bersyukur.” Betapa ramainya manusia yang berjaya dalam kehidupan, tetapi sedikit daripadanya bersyukur kepada Allah. Dengan bersyukur pada Allah, nescaya Allah tambah lagi rezeki yang ada pada kita.

Telah pun kita ketahui daripada tazkirah-tazkirah yang telah diberi oleh ustaz-ustaz di surau atau masjid di qariah kita, bahawa bulan Ramadhan ini adalah kesempatan yang diberikan oleh Allah untuk kita mentarbiyahkan diri kita kembali supaya mencapai tujuan sebenar bulan Ramadhan iaitu menjadi orang yang bertaqwa. Rebutlah peluang tersebut, semoga ramai di kalangan kita mencapai ketaqwaan. Insyaallah…

Santuni Orang-orang Miskin

Apabila tiba bulan Ramadhan, kita akan berpuasa, menahan lapar dan dahaga. Di saat inilah orang ramai perlu mengambil peluang berlumba-lumba memperbanyakkan amalan sunat. Antara amalan sunat yang dituntut diperbanyakkan dalam bulan Ramadhan ialah bersedekah. Dengan bersedekah, kita dapat membantu sedikit sebanyak orang yang lebih susah daripada kita. Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam pernah berdoa, memohon supaya menjadi pemimpin dalam keadaan miskin dan diwafatkan dalam keadaan miskin. Orang miskin, hisabnya mungkin sekejap berbanding dengan orang kaya, hisabnya banyak. Harta dan kekayaan semua itu akan dihitung kelak.

Mereka tidak merasai nikmat kekayaan dan kemewahan seperti kita. Ada sebahagian mereka tidak merasai pun nikmat kemudahan-kemudahan yang disediakan seperti bekalan air dan elektrik. Ada sebahagiannya mungkin berlindung di rumah kecil, yang serba daif. Orang yang lebih kemampuannya (lebih berada, kaya) perlu memberi bantuan kepada orang miskin kerana dalam sebahagian harta itu ada hak-hak mereka. Jika ada jiran kita yang miskin, ini adalah kesempatan buat kita membantu mereka, mencukupkan makan minum, dan pakaian mereka, sekadar yang termampu.  Siapa tahu, kita bersahur berbuka dengan makanan-makanan yang enak belaka, minuman manis belaka tetapi orang yang kurang mampu, hanya bersahur dan berbuka dengan air kosong sahaja.

Jadikan bulan Ramadhan ini sebagai tempat untuk kita tarbiyahkan diri kita menjadi lembut hati dengan orang-orang miskin. Jangan pula memandang hina dan mencerca mereka. Jangan menjadi seperti dalam kisah ahli neraka yang ditanya oleh ahli syurga (Rujuk SINI). Semoga amalan bersedekah berkekalan sepanjang hidup walaupun bukan berada dalam bulan Ramadhan. Insyaallah…


Servis Diri Kita

Berapa banyak perkara-perkara dosa dan yang dibenci oleh Allah yang telah kita lakukan? Dan berapa banyak pula amalan dan perintah Allah yang telah kita laksanakan? Justeru itu, inilah masa yang Allah berikan untuk kita servis balik diri kita, tengok balik segala tingkah laku dan percakapan kita, apakah selama mendapat keberkatan serta keredhaan Allah atau sebaliknya. Jika ada kesalahan yang kita lakukan, segeralah bertaubat nasuha. Pintu taubat Allah sentiasa terbuka buat hamba-hamba-Nya yang ingin bertaubat selagi mana mati belum menjemput, kiamat belum datang.

Dalam bulan Ramadhan ini, terdapat banyak kelebihan dan kemuliaan yang Allah berikan. Sesungguhnya bulan ini adalah istimewa buat mereka yang beriman. Sebagaimana sabda Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam, yang bermaksud,

“Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan serta kesungguhan, maka Allah akan mengampunkan dosanya yang telah lalu.”
(Riwayat Bukhari)

Bersungguh-sungguhlah dalam berpuasa di siang hari, kemudian bersungguhlah berqiyamulail (bertarawih, beriktikaf, berzikir, baca Al-Quran) di malam hari. Sesungguhnya amalan-amalan sunat seperti ini dilipatgandakan ganjarannya. Sebagaimana sabda Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam, yang bermaksud,

“Pada bulan ini adanya malam yang lebih baik daripada seribu bulan, malamnya disediakan pahala ibadat sunat yang sangat banyak, satu kebajikan akan digandakan sehingga 70 kali.”
(Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Insyaallah, ramai di antara telah menaruh azam dan bersemangat untuk memperbanyakkan amalan dalam bulan Ramadhan, lebih-lebih lagi dalam mendapatkan rahmat dan keampunan daripada Allah serta pembebasan dari api neraka. Semoga apa yang kita amalkan akan dihitung untuk dijadikan bekalan di akhirat sana kelak. Insyaallah…

Wallahu a’lam…

0 orang tertinggal pesanan:

  © Free Blogger Templates Spain by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP