Tuesday, August 16, 2011

- Malam Ramadhan 16 -

Assalamu’alaikum…

Satu hari ketika Khalifah Ke-3, Uthman bin Affan berjalan melintasi sebuah kubur, beliau berhenti dan menangis. Ada riwayat yang mengatakan bahawa Khalifah Uthman bin Affan menangis sehingga basah janggutnya. Lalu rakyatnya hairan dan bertanya padanya.

"Wahai Amirul Mukminin, mengapakah engkau menangis sedemikian rupa? Sedangkan apabila bercerita tentang kematian, syurga dan neraka, engkau tidak menangis seperti ini.”

Jawab Khalifah Uthman bin Affan, “Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam pernah bersabda: 

"Kubur itu tempat pertama dari tempat akhirat dan tempat terakhir dari tempat-tempat di dunia. Barangsiapa yang selamat dari kubur, maka apa yang ada selepas itu adalah lebih ringan. Dan barangsiapa yang tidak selamat daripadanya, maka apa yang ada sesudahnya akan lebih berat lagi.

Seorang Amirul Mukminin, seorang pemimpin besar ketika itu, seraya menangis apabila melihat kubur kerana bimbang akan perjalanannya selepas mati. Bagaimana pula dengan kita? Mungkin bagi kita setakat melihat kubur, tidak ada apa-apa. Hanya memberi salam kepada penghuni kubur sahaja.

Soal Selepas Mati

Sebagai umat Islam, kita diingatkan supaya mencari dan mengumpul sebanyak mungkin bekalan selepas mati. Kerana selepas mati, kita akan keseorangan, tiada teman biarpun ada yang mati bersama-sama kita ketika itu. Apabila kita mati, kita akan dilayan seperti budak baru lahir. Mandi, orang lain yang buatkan. Nak pakaian, orang lain yang pakaikan (kafankan). Kenderaan, orang yang lain yang tolong pandukan, tolong angkat kita menuju ke destinasi asal (kubur). Namun, kita dihadiahkan rumah yang kecil lagi sempit. Rumah yang bukan lagi di atas tanah tetapi di dalam tanah. Nampak sahaja tujuh kaki dalamnya, tetapi apabila dikambus, terhimpitlah kita.

Saat yang demikian, datanglah dua malaikat yang gerun lagi menggerunkan. Munkar dan Nakir namanya. Satu persatu soalan ditanya kepada kita. Siapa Tuhan kamu? Siapa Nabi kamu? Siapa Imam kamu? Apa Kiblat kamu? Haa… Sekarang ini boleh la kita menjawab dengan petah, lancar tanpa gagap. Di alam persinggahan sana, alam barzakh, bukanlah kita yang hendak menjawab. Yang akan menjalankan tanggungjawab memberi jawapan adalah amalan-amalan kita nanti. Seperti dalam Sabda Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam tadi, jika selamat di kubur nanti, yang kemudian pasti lebih mudah. Jika di kubur pun sudah susah, maka yang kemudiannya pasti akan menjadi sukar lagi payah.

Yang kemudian itu lebih panjang tempohnya, lebih lama penantiannya. Bangun sahaja dari kubur, pergi ke Padang Mahsyar. Kita akan menempuhi Hisab, Al-Mizan dan Titian Sirat. Ditelanjangkan segala amalan baik dan buruk untuk menjadi bukti bagi yang menafikan. Berjuta jenis manusia kita akan bertemu. Bertemu dengan sahabat kita, saudara kita, adik-beradik kita, mak ayah kita, namun tak sempat nak bersapa pun kerana masing-masing memikirkan tentang hal amalan sendiri. Jadi, kita ini berada dalam golongan yang mana? Selamat atau Tidak Selamat?

Bekalan Untuk Generasi Kemudian

Sebelum kita menuju ke alam kubur, pastikan kita sudah mempersiapkan untuk generasi akan datang tentang Islam. Alangkah ruginya jika mereka begitu tidak tahu (jahil) tentang Islam. Tidak menjadi tugas orang lain dalam menyampaikan Islam. Bukanlah menjadi tugas seorang paderi menyampaikan Islam. Bukanlah menjadi tugas seorang sami menyampaikan Islam. Bukan juga tugas seorang Atheist dalam menyampaikan Islam. Tetapi menjadi tanggungjawab Muslim terhadap Muslim yang lain menyampaikan, menyebarkan Islam. Jangan tunggu sehingga kita ditanya apakah yang kita lakukan untuk agama Islam di hadapan Allah nanti.

Sebelum kita dapat menyampaikan Islam kepada yang lain, hendaklah kita mengaji, menuntut ilmu. Tanpa ilmu, manusia tidak akan dapat hidup hingga ke hari ini. Sebagaimana sabda Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam,

”Sesiapa yang berkehendakkan dunia maka hendaklah ia berilmu, sesiapa yang berkehendakkan akhirat maka hendaklah ia berilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya maka hendaklah ia berilmu.”
Riwayat At-Tirmidzi

Hendakkan dunia, perlu ada ilmu. Hendakkan akhirat, perlu ada ilmu. Hendakkan kedua-duanya pun perlu ada ilmu. Begitulah sabda Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam. Justeru, tuntutlah ilmu agar kita dapat menyampaikan ajaran Islam kepada yang lain. Menghadapi akhir zaman ini adalah sesuatu yang sukar. Jadi kita perlu siapkan generasi muda dengan ilmu-ilmu agama selain daripada ilmu-ilmu keduniaan bagi menghadapi petaka-petaka yang akan datang.

Diceritakan bahawa Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam masuk ke masjid. Baginda melihat ada dua kumpulan, yang mana satu daripadanya sedang berzikir dan yang satu lagi sedang mengajar dan belajar (menuntut ilmu). Maka Baginda pun menyatakan bahawa Kedua-dua kumpulan tersebut adalah baik. Namun, Baginda mengatakan dirinya diutuskan untuk menjadi guru. Maka, Baginda pergi kepada kumpulan yang mengajar dan yang belajar.

Jangan menjadi seorang yang pejuang menegakkan Islam tetapi mengabaikan anak isteri di rumah. Isteri mendedahkan aurat sana sini, anak mengikut contoh yang tidak elok dari budaya Barat. Sebelum kita keluar nak menegakkan Islam, kita tegakkan Islam dalam rumah dahulu. Berapa ramai yang ayahnya tok imam, tok bilal dan guru agama tetapi anaknya keluar dengan tidak membataskan pergaulan dan auratnya tidak terdedah? Mungkin sekarang kita melihat tidak ramai sebegitu, tetapi untuk yang akan datang, adakah kita dapat pastikannya?

Iman tidak dapat diwarisi daripada ayah kepada anak. Seperti mana tidak diwariskan iman Nabi Nuh ‘alaihi Salam kepada anaknya. Anak-anak ini perlu dididik sejak dari kecil. Ketika kecillah, mereka senang terpengaruh, mudah mengikut apa yang dilakukan oleh orang lain. Maka ajarkan mereka ini yang mana betul, dan yang mana salah. Yang mana benar dan yang mana dusta. Kitalah yang menjadikan mereka sama ada generasi yang akan membangunkan Islam atau yang menjatuhkan Islam. Sesungguhnya anak itu adalah anugerah Allah menjadi tanggungjawab kita sewaktu hidup di dunia dan bekalan di alam barzakh. Sabda Nabi Muhammad Sollallahu ‘alaihi Wasallam,

"Apabila matinya anak Adam, maka putuslah amalannya kecuali tiga iaitu, anak soleh yang mendoakan untuknya, ilmu yang diajarkan dengannya dan sedekah jariah yang ditinggalkan."

Wallahu a’lam…

0 orang tertinggal pesanan:

  © Free Blogger Templates Spain by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP