- Malam Ramadhan 8 -
Assalamu'alaikum...
Sesungguhnya Al-Quran itu diturunkan untuk manusia mengambil pedoman dan pengajaran di dalamnya. Al-Quran itu adalah petunjuk yang perlu diikuti oleh sekalian manusia, dan bukan hanya untuk orang Islam sahaja. Sebagai seorang yang Islam, Al-Quran itu perlulah dijaga kemuliaannya dan Allah telah memberi jaminan bahawa isi-isi yang terkandung dalam Al-Quran tidak akan pernah berubah, terpelihara sehinggalah hari kiamat.
Dalam bulan Ramadhan, kita dituntut memperbanyakkan amalan ibadah untuk mencapai tiga perkara iaitu mendapat kerahmatan, keampunan dan pembebasan dari api neraka. Menurut sebahagian ulama menyatakan bahawa, dalam bulan Ramadhan, segala amalan akan dilipatgandakan ganjarannya, tidak terkecuali amalan yang buruk. Dosa juga akan dilipatgandakan. Salah satu daripada amalan yang dituntut diperbanyakkan dalam bulan Ramadhan adalah membaca Al-Quran.
Enam Wirid Dengan Al-Quran
Ada ulama yang menggariskan bahawa ada ENAM wirid yang perlu dilakukan ketika bersama dengan Al-Quran iaitu:-
1. Membaca Al-Quran
Bacalah Al-Quran supaya kita ingat ayat-ayat di dalamnya. Dalam sabda Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam yang bermaksud,
“Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”
Jika setiap huruf yang dibacanya dalam Al-Quran adalah satu kebajikan yang sepuluh kali ganda ganjaran, maka dalam bulan Ramadhan, akan digandakan lagi ganjaran bagi setiap huruf yang dibaca. Allah begitu pemurah untuk mengurniakan ganjaran kepada hamba-Nya bagi sesiapa yang berlumba-lumba mengerjakan kebaikan.
2. Mempelajari Al-Quran
Kita digalakkan mempelajari tentang Al-Quran. Dalam Al-Quran terkandung segala tentang ilmu tajwid, tauhid, feqah, akidah, ibadah dan sebagainya. Dengan ilmu agama yang ada itu, kita dapat mengenali Allah, membezakan haq dan batil, melakukan ibadah dan seumpamanya. Dalam entri ‘Malam Ramadhan’ sebelum ini, telah dinyatakan bahawa siapa yang tidak mempelajari ilmu agama, maka dia seorang yang bodoh, jahil.
3. Mentadabbur Al-Quran
Dengan mentadabbur Al-Quran, kita dapat menghayati dan memahami isi-isi terkandung dalam Al-Quran. Tambahan pula, kita dapat menambah ilmu pengetahuan tentang sirah-sirah nabi dan mengambil iktibar dan pedoman daripadanya. Di dalam Al-Quran juga ada menceritakan tentang keadaan syurga dan neraka. Daripada situ kita dapat menggambarkan betapa indahnya di syurga dan betapa seksanya di neraka. Dan lebih indah daripada apa yang kita gambarkan. Segala perintah Allah dalam Al-Quran terkandung beribu hikmah yang mesti kita selidiki.
4. Mendengar ayat-ayat Al-Quran
Dengan melihat Al-Quran pun sudah mendapat pahala. Apatah lagi mendengar ayat-ayatnya. Ada lima perkara apabila kita melihatnya, kita mendapat pahala iaitu melihat orang-orang yang soleh, Al-Quran, ibu bapa, Kaabah, dan Air Zam-zam. Ketika mendengar ayat-ayat Al-Quran, kita hendak teliti dan diam. Usah bimbanglah wahai kaum wanita yang tidak dapat membaca Al-Quran ketika waktu uzurnya kerana dengan hanya mendengar pun sudah mendapat pahala.
5. Menghafaz dan mengingati ayat-ayat Al-Quran
Sebagai umat Islam, kita hendaklah menjaga ayat-ayat Al-Quran. Bagaimana? Dengan menghafaz ayat-ayat dalam Al-Quran. Dengan ini, isi-isi Al-Quran akan terpelihara daripada tangan manusia yang jahat dan mahu mengubah struktur ayat-ayatnya. Jika belum menghafaznya, mulakan secara perlahan-lahan. Mula menghafaz surah-surah pendek dahulu. Ada sahabat Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk menghafaz Al-Quran. Jika tak mustahil baginya, maka tak mustahil bagi kita untuk memulakannya.
6. Bertadarus Al-Quran
Kita dapat memperbaiki kelemahan bacaan kita dengan bertadarus. Bertadarus adalah apabila seorang membaca Al-Quran, maka yang lainnya akan meneliti ayat-ayat yang dibacanya dan memperbetulkan bacaannya jika ada yang tersalah. Dengan itu, bacaan kita akan lebih tepat dan teratur.
Itulah enam wiridnya. Jika tak dapat melakukan kesemuanya, lima pun sudah tidak mengapa. Jika tidak mampu juga, maka empat atau tiga atau dua ataupun satu daripadanya dapat dilakukan. Tetapi adalah lebih baik untuk kita berusaha melakukan kesemuanya. Membaca Al-Quran memerlukan istiqamah agar kita tidak jauh daripada Allah. Apabila kita tak beristiqamah, maka kita menjadi tawar untuk membaca Al-Quran. Di mana-mana juga kita dapat membaca Al-Quran, hatta dalam perjalanan sekalipun.
Kisah Khalifah Umar Al-Khattab
Dikhabarkan bahawa satu hari Khalifah Umar Al-Khattab meminjam kuda untuk bermusafir. Ketika dalam perjalanan, beliau membaca ayat-ayat suci Al-Quran sehinggakan beliau tidak sedar bahawa selendang yang berada di bahunya itu terjatuh. Setelah jauh daripada tempat selendangnya jatuh, beliau ditahan oleh rakyatnya. Rakyatnya memberitahu bahawa selendang Khalifah Umar Al-Khattab terjatuh jauh di belakang. Khalifah Umar Al-Khattab meminta rakyatnya itu menjaga kuda sementara beliau berjalan pergi mengambil selendangnya.
Setelah Khalifah Umar Al-Khattab kembali ke kudanya, rakyat beliau bertanya dua soalan kepadanya.
Rakyat: Mengapa engkau tidak menunggang kuda sahaja untuk pergi mengambil selendangmu itu?
Khalifah Umar Al-Khattab: Dalam perjanjian aku dengan tuan kuda ini tidak ada pun aku memberitahu bahawa untuk menggunakan kudanya mengambil selendangku selain daripada pergi ke tempat yang dituju.
Rakyat: Kenapa engkau tidak menyuruh aku sahaja pergi mengambil selendangmu?
Khalifah Umar Al-Khattab: Engkau bukanlah hambaku untuk aku menyuruhmu pergi mengambil selendangku yang terjatuh tadi. Engkau adalah rakyatku, dan menjadi tanggungjawab aku untuk menjaga rakyatku.
Ambillah pengajaran daripada cerita ini dan jadikan pedoman dalam kehidupan seharian. Semoga segala amalan baik yang kita lakukan dalam bulan Ramadhan ini diterima dan digandakan ganjaran bagi setiapnya.
Wallahu a’lam…
0 orang tertinggal pesanan:
Post a Comment