- Malam Ramadhan 9 -
Assalamu'alaikum...
Kemorosotan akhlak dan moral di kalangan umat Islam tidak perlu dipertikaikan lagi. Semakin maju pembangunan, taraf hidup dan ekonomi di kalangan umat Islam, hukum-hakam agama semakin dipandang ringan. Apabila hukum-hakam agama mula dipandang ringan, maka aturan hidup mulalah mengikut budaya-budaya yang bercanggah dengan ajaran Islam. Semakin lama dibiarkan, semakin ternyata, terpampang di depan mata kejatuhan nilai-nilai murni yang mana pernah dimiliki oleh umat Islam suatu ketika dahulu.
Jenayah Besar Di Kalangan Umat Islam
Jenayah yang paling besar dan semakin banyak dilakukan oleh umat Islam semenjak kebelakangan ini ialah tidak dan kurangnya mentadabbur Al-Quran, tidak berusaha untuk memahami makna bacaan ayat-ayat Al-Quran. Amalan tadabbur Al-Quran ini penting kerana dari situ kita akan dapat memahami apa yang hendak disampaikan oleh Allah kepada hamba-Nya. Segala percaturan hidup manusia, dahulu, kini dan akan datang telah pun diceritakan di dalam kitab-Nya. Tetapi mengapa umat Islam tidak memandang Al-Quran ini sebagai petunjuk, nur untuk mereka, dalam hidup mereka? Sedangkan Allah telah pun berfirman dalam Al-Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud,
“Dalam bulan Ramadhan diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan keterangan yang menjelaskan petunjuk serta perbezaan antara yang benar dengan yang salah...”
Terang dan nyata. Al-Quran itu petunjuk buat sekalian manusia. Tidak kira bangsa dan keturunan. Allah memberitahu dalam Al-Quran bahawa segala yang terkandung dalam Al-Quran itu adalah petunjuk untuk kita mengenali-Nya, menghantar Rasul-Nya mengajar segala yang boleh dan tidak boleh serta sebagai petunjuk untuk aturan hidup kita agar tidak tersesat, dan tidak kembali kepada kejahilan. Sebagaimana firman Allah, dalam Surah Al-Jumu’ah, ayat 2 yang bermaksud,
“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”
Jika kita melihat nilai yang dipegang oleh kebanyakan umat Islam dalam perniagaan adalah dengan menipu, dapat untung. Diceritakan bahawa ada seorang dari Timur Tengah pergi ke Eropah bercuti. Dia membeli barang dari satu kedai. Pada hari hendak pulang ke Timur Tengah, dia mendapati barang yang dibelinya itu rosak. Dia menelefon kepada tuan kedai menjual barang tersebut dan meminta hendak menukar barang. Dalam tempoh beberapa minit, seorang pekerjanya datang dan menukar barang tersebut tanpa bertanya apa kerosakan barangnya. Orang itu (dari Timur Tengah) hairan dan bertanya kepada pekerja itu, kenapa tidak bertanya dulu apa kerosakan barang tersebut. Pekerja itu menjawab, mereka berniaga atas dasar kejujuran. Orang (dari Timur Tengah) itu mula berfikir bahawa, jika di tempatnya, yang mana diduduki oleh orang Islam sendiri, susah untuk mendapat layanan sedemikian. Jika menelefon untuk mengadu barang rosak sekalipun, barangkali terpaksa menunggu tempoh yang agak lama untuk mendapat barang baru. Lihat, bagaimana cara dan etika bekerja orang barat. Mereka telah mengamalkan apa yang telah disuruh dalam Islam meskipun akidah mereka berlainan dengan kita.
Menepati Masa
Jika kita melihat amalan yang sukar, susah bagi umat Islam mengamalkannya adalah menepati masa. Sesiapa sahaja yang menepati masa, pastikan akan mendapat ganjaran di kemudian hari. Kita perlu mengambil iktibar daripada negara maju seperti Jepun. Mereka mengamalkan konsep tepati masa dalam urusan pentadbiran, perniagaan malah kehidupan seharian mereka. Jika kita tengok, mereka sudah mengamalkan apa yang diajar dalam Islam, yakni menepati masa. Jika kita umat Islam mengambil iktibar dan pedoman daripada Surah Al-Asr, pasti ramai umat Islam sudah lama berjaya dalam pelbagai bidang sama ada politik, ekonomi, perubatan, undang-undang, teknologi atau kejuruteraan. Firman Allah dalam Surah Al-Asr, ayat 1-3 yang bermaksud,
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
Tetapi lihatlah berapa ramai umat Islam yang tumbang berbanding yang berjaya dalam perniagaan? Hanya yang mengamalkan ajaran Islam sahaja akan mendapat keuntungan dunia dan akhirat. Jadilah seorang manusia yang beragama Islam yang mementingkan masanya yang menepati masanya tidak kira di mana jua pun kita berada. Insyaallah…
Mesir dan Israel
Bagaimana Mesir boleh menjadi lebih yakin untuk berurus niaga dengan Israel berbanding negara-negara Islam di sekelilingnya? Kerana Israel berpegang kepada janji. Apa yang mereka katakan dalam urus niaga mereka, mereka akan kotakan. Tetapi tidak begitu buat sebahagian umat Islam. Ada yang hanya pandai berkata janji, tetapi tidak mengotakan janji mereka. Allah menuntut umat Islam supaya mengotakan janji, menepati apa yang dikatakan. Firman Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 1 yang bermaksud,
“Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya binatang-binatang ternak dan sebagainya itu) tidak pula bererti kamu boleh menghalalkan perburuan ketika kamu dalam keadaan berihram. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang Dia kehendaki.”
Begitu juga dalam urusan perniagaan. Jika kita berkeinginan untuk berjaya, janji mestilah dikotakan. Usah melakukan dolak dalik kerana apabila kita memungkiri janji, kepercayaan orang terhadap kita akan punah. Hal ini akan memberi kesan terhadap agama Islam. Tidak hairanlah, ada sesetengah ulama memuji mereka (Israel) kerana mereka mengamalkan sistem demokrasi yang paling baik dalam negara mereka jika dibandingkan negara-negara yang lain. Meskipun mereka ini banyak melakukan kejahatan terhadap orang-orang Islam.
Kebangkitan Islam Di Barat
Jika kita melihat di barat, adanya kebangkitan Islam di Amerika dan di benua Eropah. Beribu-ribu orang yang belum Islam kembali memeluk agama Islam di sana. Hal demikian kerana mereka membaca Al-Quran, berusaha memahami makna Al-Quran. Seperti mana yang telah terjadi kepada Cat Stevens atau nama sekarangnya adalah Yusuf Islam. Sebelum ini hidupnya dipenuhi dengan pelbagai masalah. Dibuat bermacam-macam cara juga tidak dapat menyelesaikan masalahnya. Satu hari abangnya memberi Al-Quran kepadanya. Beliau membaca Al-Quran dan menemui jalan penyelesaian daripada situ. Akhirnya, beliau kembali kepada agama fitrahnya iaitu Islam. Alhamdulillah. Al-Quran itu mampu menjadi penyelesai kepada masalah kehidupan manusia. Sesiapa yang mencari, pasti akan mendapatkannya.
Tidak seperti yang kita lihat di sini. Ramainya orang yang keluar dari Islam, murtad berbanding yang memeluk Islam. Paderi-paderi Kristian berusaha untuk menyebarkan agama mereka. Tak mustahil ramai yang murtad dan masuk agama Kristian. Kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana mereka berusaha, sedangkan kita? Kita sebagai orang Islam sendiri tidak berusaha pergi menuntut ilmu-ilmu agama untuk mendalami Islam. Malah lebih banyak mencontohi budaya barat yang bercanggah dengan syara’. Jangan sesekali tinggalkan Al-Quran dan As-Sunnah kerana perbuatan tersebut akan menjauhkan diri kita daripada Allah.
Musuh Utama Umat Islam Sekarang
Musuh utama orang Islam bukanlah orang-orang kafir, Yahudi mahupun Nasrani. Tetapi ialah diri orang Islam itu sendiri. Itulah musuh paling mengancam kehidupan orang Islam. Jika umat Islam mengamalkan apa yang telah tertulis dalam Al-Quran, tidaklah umat Islam mengalami kemunduran dari segi akhlak, moral mahupun kemodenan lahiriah. Selagi orang Islam itu tidak berubah, maka kebangkitan Islam itu tidak akan terjadi, terutamanya di Malaysia ini. Sebagaimana firman Allah dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 11 yang bermaksud,
“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.”
Berusahalah mentadabbur Al-Quran bagi mendalami Islam. Tidaklah membuang masa jika kita pergi belajar bertadabbur Al-Quran dengan orang-orang yang lebih dalam pengetahuan agamanya, malah lebih bermanfaat. Ini adalah kebaikan untuk diri kita sendiri serta generasi seterusnya selepas kita. Kita mempelajari, dan kita juga yang mengajarkan orang lain tentang apa yang kita pelajari. Mudah-mudahan, cahaya Islam yang semakin malap di negara kita ini akan kembali menyinar.
Wallahu a’lam…
0 orang tertinggal pesanan:
Post a Comment