Monday, August 01, 2011

- Malam Ramadhan 1 -

Assalamu'alaikum...

Alhamdulillah, aku bisa lagi bertemu lagi dengan Ramadhan. Bisa mendaftarkan diri dalam madrasahnya. Di antara Solat Tarawih dan Sunat Witir, para jemaah dihidangkan dengan halwa telinga yang amat bermanfaat. Aku hampir menitiskan air mata mendengar tazkirah tadi. Betapa kurang syukurnya aku dalam hidup ini. Diberi anugerah dan nikmat yang tidak terhingga sepanjang 23 tahun lebih kehidupan aku. Allah...

Bermulanya Jasad Yang Mulia

Manusia ini adalah satu JASAD yang mulia. Seperti yang telah dinyatakan dalam Al-Quran, manusia ini adalah sebaik-baik penciptaan. Dan telah dinyatakan juga dalam Al-Quran bahawa Allah telah memuliakan anak cucu Nabi Allah Adam 'alaihi salam. Pernah berlaku bahawa seorang lelaki ini telah melafazkan taklik bahawa jika isteri yang dikahwininya itu tidak seindah bulan di langit, maka dia akan ceraikan dia kerana pada waktu itu golongan lelaki hanya dibenarkan melihat perempuan setelah mereka berkahwin. Selepas berkahwin, lelaki tersebut melihat wajah isterinya tidaklah seindah bulan di langit. Lelaki tersebut telah merujuk kepada ilmuwan agama dan ulama. Para ulama dan ilmuwan agama pun bermesyuarah di kalangan mereka. Majoriti mengatakan bahawa jatuh talak. Hanya seorang sahaja yang berkata tidak jatuh talak kerana beliau berpegang kepada ayat Al-Quran yang bermaksud "Telah diciptakan manusia itu sebaik-baik penciptaan", Surah At-Tiin, ayat 4. Setiap kejadian manusia itu adalah lebih baik daripada segala kejadian makhluk lain. Demikianlah manusia itu adalah ciptaan yang mulia disisi Allah.

Dalamnya Ada Hati Yang Mulia

Di dalam jasad manusia yang mulia itu, ada satu organ yang mulia, iaitu HATI. Jasad manusia itu diibaratkan sebagai sebuah negeri dan organ-organ di dalamnya adalah rakyat. Yang menjadi raja di dalam negeri itu ialah hati. Kenapa hati adalah raja? Sebabnya ialah setiap perbuatan itu dimulakan dengan niat. Dan niat itu asalnya dari hati. Jika hati manusia itu kotor, maka buruklah segala perbuatannya. Dan jika hati itu bersih, maka cantiklah tingkah lakunya. Oleh yang demikian, hati itu memandu segala perbuatan manusia.

Dalam Hati Itu Ada Iman

Di dalam hati yang mulia itu juga, terdapat satu benda yang mulia iaitu IMAN. Daripada iman dalam hati itulah, keluarnya segala yang baik dari segi percakapan, perbuatan dan pendengaran. Dalam Al-Quran, ayat yang memerintahkan supaya berpuasa di bulan Ramadhan dimulai dengan 'Wahai orang-orang yang beriman', kerana orang yang mempunyai imanlah yang akan melakukan perintah Allah. Seperti yang kita dapat tengok sejarah Saidina Umar Al-Khattab Radhiyallahu 'anhu, sebelum beliau memeluk Islam. Dengan tangannya sendiri, beliau menanam anak perempuannya hidup-hidup. Dengan tangan itulah, beliau menyeksa Zinnirah hingga buta matanya. Dengan tangan itu jugalah, beliau mengangkat pedangnya pergi mencari Baginda Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam kerana ingin memenggal kepala Baginda. Semua itu berlaku sebab apa? Sebab di dalam hatinya itu ada kekufuran. Dan apabila datangnya iman dalam hatinya, Saidina Umar Al-Khattab menjadi seorang penegak keadilan yang berani (Pemisah Haq dan Batil, Al-Faruq). Lihatlah bagaimana iman memandu manusia menjadi seorang yang baik dalam hidupnya.

Kisah Amru bin Asr Dan Orang Yahudi

Di zaman pemerintahan beliau, Islam tersebar dengan luas hingga ke Mesir. Diceritakan bahawa Amru bin Asr telah dilantik menjadi Gabenor di Mesir. Ketika di Mesir, Amru bin Asr telah merancang untuk membina sebuah masjid. Tetapi di atas tapak masjid yang hendak dibina itu, terdapat tanah milik seorang yahudi. Wakil Amru bin Asr telah dihantar untuk berbincang dengan orang yahudi tersebut. Malangnya, orang yahudi tersebut berkeras tidak membenarkan masjid dibina di atas tanah miliknya. Selepas segala tawaran yang baik ditolaknya, Amru bin Asr bertegas untuk merampas tanah milik orang yahudi itu. Orang yahudi itu telah pun pergi menemui Khalifah Umar Al-Khattab di Madinah. Khalifah Umar Al-Khattab mendengar aduannya lalu menyuruhnya mencari tulang kaki binatang yang panjang. Khalifah Umar Al-Khattab menggunakan pedangnya menggaris di tengah-tengah tulang tersebut. Orang yahudi itu disuruh sampaikan tulang tersebut kepada Amru bin Asr di Mesir.

Orang yahudi itu kehairanan. Pergi mengadu kepada Khalifah, tulang yang diperolehinya, kok bisa begitu dong??? (Indon pulak daa...). Setelah sampai di Mesir, tulang tersebut diberikan kepada Gabenor Amru bin Asr. Lalu tangan Amru bin Asr bergetar memegang tulang tersebut. Beliau sedar akan kesilapannya dan bertanyakan apa orang yahudi itu mahukan. Orang yahudi bertanya kepadanya, mengapa tiba-tiba beliau berubah fikiran. Dijawabnya Amru bin Asr, garisan tengah pada tulang tersebut yang dibuat oleh Khalifah Umar Al-Khattab meminta beliau berlaku adil dalam pemerintahannya. Tulang itu pula bermaksud jika beliau (Amru bin Asr) tidak berlaku adil, maka kelak beliau menjadi seperti tulang binatang itu. Begitulah, apabila dua orang yang beriman berhubung, maka perkara baik yang berlaku. Seorang Umar dan Amru berlaku adil terhadap rakyat di bawahnya.

Hubungan Dengan Allah

Orang yang mempunyai iman akan membentuk hubungannya dengan Allah Taala. Kerana daripada iman, keluarnya Islam iaitu daripada hati yang mempunyai iman, akan mengeluarkan perkara yang baik dalam perbuatannya yang dipanggil Islam. Orang yang tidak mempunyai iman tidak ada hubungan dengan Allah. Apabila orang ini tidak ada hubungan dengan Allah, maka kehidupannya tiada arah dan petunjuk ibarat layang-layang tidak bertali, terbang melayang hingga jatuh ke bumi.

Koreksi diri kita wahai sahabat. Iman kita setara mana? Sama dengan setitis airkah? Atau sama nipisnya dengan senipis bawang? Atau kurang daripada itu? Tidak ada manusia yang sempurna di dunia tetapi kita bisa melakukan yang terbaik untuk meningkatkan tahap keimanan kita. Kuatkanlah pertalian hamba dengan Penciptanya.

Selamat Menjalani Ibadah Puasa Dalam Bulan Ramadhan Al-Mubarak

Wallahu a'lam...

0 orang tertinggal pesanan:

  © Free Blogger Templates Spain by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP