Tuesday, August 16, 2011

- Malam Ramadhan 15 -

Assalamu’alaikum…

Alhamdulillah…kita sudah pun tiba di pertengahan Ramadhan Al-Mubarak. Ada lagi tinggal 15 hari Ramadhan untuk kita mengecapi tujuan Ramadhan kita. Apa yang kurang dalam 15 hari yang lepas? Dan apa pula yang kita nak tambahkan pada 15 hari yang akan datang nih? Belum tentu selepas habis 15 hari yang baki ini, kita akan bertemu lagi Ramadhan yang akan datang. Pelbagai perkara boleh berlaku. Semoga dijauhkan daripada perkara yang tidak baik. Amiinn…

Melihat kepada keadaan manusia akhir zaman ini, sekali lagi aku diperingatkan dengan Sabda Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam. Dalam sabda tersebut, dinyatakan bahawa akan datang satu golongan manusia di akhir zaman, yang mana kasih kepada yang lima dan lupa kepada yang lima. Apakah golongan itu?

1. Yang kasih kepada HIDUP, lupa kepada MATI
Orang seperti ini sangat cinta kepada nikmat kehidupan yang dikurniakan Allah. Sentiasa mengejar dan mencari  bekalan untuk kehidupan yang sementara. Tetapi mereka ini lupa untuk beringat-ingat tentang kematian. Mereka tidak sedar yang dahulunya mereka itu mati, kemudian Allah beri mereka kehidupan. Kematian itu adalah pasti bagi yang hidup, sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-‘Ankabut, ayat 57, yang bermaksud,

“Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).”

Mereka lupa bahawa kematian itu sangat menyakitkan seperti disiat-siat kulit sendiri. Apabila masa tiba, mati akan datang tanpa dijemput. Mereka lupa bahawa hidup ini hanya sementara, cuma tempat persinggahan seperti tempat singgah R&R di lebuh raya. Yang menjadi tujuan kehidupan adalah selepas mati. Apakah bekalan kita ini terlebih cukup untuk dibawa selepas daripada kematian nanti? Fikir-fikirkan…

Apakah kita dari golongan ini?

2. Yang kasih kepada HARTA, lupa kepada HISAB
Manusia jenis ini mencari harta kekayaan untuk dikumpul buat bekalan di hari tua. Kereta-kereta mewah, rumah bak mahligai dan segala simpanan dalam bank dikumpul supaya apabila tiba di hari tua nanti ada bekalan untuk anak-anak dan isteri. Tetapi mereka ini lupa bahawa segala harta yang mereka kumpul itu akan dihisabkan, dihitungkan satu persatu tanpa ketinggalan sehabuk pun. Mereka akan ditanya ke manakah harta mereka itu dibelanjakan? Adakah dibelanjakan di jalan Allah atau tercicir di sepanjang jalan-jalan syaitan?

Ketika peristiwa Israk dan Mi’raj, Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam telah diperlihatkan keadaan di syurga. Dalam syurga itu ramainya orang miskin. Kenapa ramai orang miskin? Kerana orang miskin mempunyai banyak masa untuk mengabdikan diri kepada Allah sedangkan yang kaya, masa mereka diisi dengan kegiatan mengumpul harta benda dan keuntungan. Bukannya yang kaya semua begitu, ada sebahagian di antara mereka.

Apakah kita dari golongan ini?

3. Yang kasih kepada DUNIA, lupa kepada AKHIRAT
Banyaknya manusia di akhir zaman mencari, berlumba-lumba dalam hal-hal keduniaan. Takut dikatakan ketinggalan zaman, segala-galanya dicari untuk dimiliki supaya menjadi tumpuan orang sekeliling. Menjadi kaguman buat yang tidak ada. Tetapi mereka lupa bahawa itu semua hanyalah sebagai bayangan dunia yang menyebabkan mereka tidak dapat melihat hal-hal selepas mati (akhirat). Mereka dibutakan dengan keduniaan, lupa kepada syurga dan neraka yang sedang menanti. Belum tentu kita ke syurga, tetapi apakah kita sanggup ke neraka? Syurga hanyalah tempat untuk mereka yang melebihkan hal-hal akhirat dari keduniaan. Neraka adalah tempat buat mereka yang lupa pada akhirat, yang tidak percaya adanya akhirat.

Bukankah Allah telah mengingatkan bahawa kehidupan akhirat itu lebih baik dari kehidupan dunia dalam Kitab-Nya, Al-Quran? Namun mereka tidak mengambil pengajaran daripadanya. Sebagaimana dalam Surah Al-An’am, ayat 32, yang bermaksud,

“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?”

Apakah kita dari golongan ini?

4. Yang kasih kepada MAHLIGAI, lupa kepada KUBUR
Mereka ini berlumba-lumba membina tempat tinggal yang indah-indah di dunia ini. Seorang berumahkan istana yang dihiasi emas di dalamnya manakala seorang lagi berumahkan mahligai yang dihiasi marmar yang indah. Ketika ditanya, semua ini adalah untuk kesenangan anak isteri kelak. Namun, mereka lupa akan kubur yang sempit yang dalamnya tujuh kaki. Tak ingatkah mereka tentang persoalan yang akan dikemukakan oleh dua ciptaan Allah, Munkar dan Nakir. Jika dapat dijawab, beruntunglah dan berehatlah dengan tenang di dalamnya. Jika tidak, maka azablah selama mana kiamat belum tiba. Biarpun kubur diluaskan dan dihiaskan, maka rasanya nanti adalah sama. Sudah siapkah segala bekalan yang perlu dibawa untuk menginap di situ nanti? Cukupkah? Koreksilah diri…

Apakah kita dari golongan ini?

5. Yang kasih kepada MAKHLUK, lupa kepada KHALIQ (Allah)
Sesungguhnya manusia itu berkasih sayang antara satu sama lain. Tetapi ada manusia yang mencintai manusia lain sehinggakan Allah diketepikan. Mereka mencintai segala nikmat-nikmat dunia tetapi mereka lupa bahawa segala-galanya itu dikurniakan oleh Allah. Mereka tidak meletakkan keutamaan cinta mereka kepada Allah. Ada manusia melafazkan kata-kata cinta kepada manusia lain melebihi Pencipta mereka, yakni Allah. Mereka berfikir bahawa cinta mereka itu cinta yang sejati, walhal cinta mereka itu diselimuti hawa nafsu mereka menyebabkan mereka buta tentang cinta. Maka letakkan cinta kita terhadap manusia lain kerana cinta kita terhadap Allah. Utamakan dalam  mencari keredhaan Allah berbanding keredhaan manusia.

Apakah kita dari golongan ini?

Peringatan Daripada Allah

Allah mengingatkan kita dalam Surah At-Taubah, ayat 24, yang bermaksud,

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).

Bagi sesiapa yang tidak tergolong dalam lima golongan yang disebutkan tadi, beruntunglah. Mereka ini ingat kepada Allah. Apabila ingat kepada Allah, mereka ingat kepada empat perkara yang lain; kematian, hisab, alam barzakh dan hari akhirat. Maka kita ini golongan yang mana satu sebenarnya? Sudah tentulah kita tidak mahu menjadi sebahagian daripada lima golongan yang rugi, ingin kepada lima golongan yang beruntung tadi. Sesungguhnya janji Allah adalah benar. Biarlah bersusah-susah dahulu di dunia, barulah bersenang-senang di akhirat sana kelak. Insyaallah…

Wallahu a’lam…

0 orang tertinggal pesanan:

  © Free Blogger Templates Spain by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP