Thursday, August 11, 2011

- Malam Ramadhan 10 -

Assalamu'alaikum...

Hampir berakhir fasa pertama Ramadhan kali ini. Fasa pertama, kerahmatan, sudahkah kita mencapai apa yang menjadi tujuan pada fasa awal ini? Jika belum, bersegeralah agar dapat mencari peluang mengejar fasa yang kedua, iaitu keampunan.

Acap kali dalam tazkirah sepanjang sembilan malam Ramadhan yang lepas menceritakan tentang perintah Allah, amalan-amalan yang dituntut sepanjang Ramadhan dan membincangkan perintah serta kenyataan Allah dalam kitab-Nya, Al-Quran. Tidak ketinggalan juga kita membincangkan kepincangan yang berlaku di kalangan umat manusia khususnya umat Islam.

Tadabbur Al-Quran

 Amalan mentadabbur Al-Quran sangat penting. Inilah amalan yang jarang sekali dilakukan oleh umat Islam. Inilah juga jenayah bagi kita yang tidak melakukannya. Aku tidak mengatakan semuanya di antara kita, tetapi sebahagian besar di kalangan kita tidak mengamalkannya. Firman Allah dalam kitab-Nya, Surah An-Nisa, ayat 82, yang bermaksud,

“Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.”

Jika benar Al-Quran ini bukan daripada Allah, ciptaan manusia semata-mata, tentulah kita dapati banyaknya percanggahan dalam kitab Al-Quran. Tetapi ini tidak, apabila dinyatakan dalam Al-Quran tentang sesuatu itu, maka benarlah ia. Dan tidaklah adalah pertindihan dan percanggahan di dalamnya kerana Al-Quran itu datangnya daripada kalam Allah. Apa yang Allah memperkatakan di dalamnya (Al-Quran) pasti benar, tidak ada keraguan. Maka, Al-Quran sesuailah dijadikan petunjuk sepanjang zaman buat manusia. Sebagaimana firman Allah yang kita selalu dengar dalam Surah Al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud,

“Dalam bulan Ramadhan diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan keterangan yang menjelaskan petunjuk serta perbezaan antara yang benar dengan yang salah;….”

Begitu juga dalam surah yang sama, ayat 2, yang bermaksud,

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.”

Didiklah Anak Mengikut Acuan Al-Quran

Sejak dari dalam kandungan lagi, anak-anak perlu dididik mengenal Allah Subhanahu Wata’ala. Apabila dia (bayi) masih dalam kandungan, perdengarkanlah ayat-ayat Al-Quran kepadanya. Berkatalah yang baik-baik agar dia mengikut jejak ibu yang mengandungnya. Mendoakan supaya dia menjadi anak yang soleh dan taat kepada kedua-dua ibu bapanya kelak. Mendidik anak-anak supaya mengenal Allah, berdamping dengan Al-Quran bukanlah suatu yang mudah. Didikan yang demikian memerlukan kesabaran yang tinggi. Didikan perlulah dilakukan secara beransur-ansur agar tidaklah memberatkan anak-anak yang masih kecil, mengikut sekadar kemampuan mereka. Jika terus memberikan yang berat-berat kepada anak-anak, mereka akan memberontak. Didiklah mereka dengan doa-doa yang diajar oleh Nabi Muhammad Sollallahu ‘alaihi Wasallam. Mudah-mudahan hati mereka itu dekat dengan Allah.

Aku tidak mahu berbincang panjang tentang soal didikan anak dalam mengenal Allah dan Rasul-Nya, kerana aku tidak ada pengalaman tersebut. Semoga dengan apa yang dikongsi ini dapat membantu sedikit sebanyak kepada yang bakal menjadi bapa, baru menjadi bapa, dan yang bakal bernikah nanti.

Wallahu a’lam…

0 orang tertinggal pesanan:

  © Free Blogger Templates Spain by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP