Monday, August 22, 2011

- Malam Ramadhan 18 -

Assalamu’alaikum…

Perkataan ‘Jihad’ sering kali kedengaran jika dikaitkan dengan perjuangan menegakkan agama Islam. Apakah yang kita faham tentang jihad? Jihad dari segi bahasanya bermaksud, melakukan suatu pekerjaan itu dengan bersungguh-sungguh. Jika kita tengok lagi dari segi istilahnya  bermaksud berjuang di jalan Allah, menegakkan agama Allah, dengan cara yang dibenarkan syariat, dilakukan kerana Allah (ikut faham aku, jika salah, dialu-alukan teguran).

Jika orang Islam memandang jihad ini adalah suatu pekerjaan yang mulia di sisi Islam, maka apa pula pandangan orang yang belum Islam ini? Orang belum Islam yang mengkaji kefahaman tentang jihad ini mungkin akan memandang jihad ini suatu yang amat baik. Bagi yang lain pula, yang kurang atau tidak faham tentang Islam akan memandang jihad ini suatu yang ekstrem. Apatah lagi mereka yang berasal dari barat.

Hal demikian mungkin merupakan salah satu faktor wujudnya islamofobia di kalangan orang belum Islam. Mereka akan semakin takut dan semakin jauh daripada Islam. Soalnya, bagaimana, kita sebagai orang Islam hendak menangkis tohmahan ini dan memberi kefahaman yang benar dan jelas kepada golongan yang belum Islam?Fikir-fikirkan...

Jihad Melawan Hawa Nafsu

Nafsu merupakan sebahagian daripada diri manusia. Itu hakikat. Tanpa nafsu, manusia tidak akan berbuat-buat apa-apa. Nak makan pun tidak mahu, sebab apa? Tidak ada nafsu. Jadi, terimalah hakikat nafsu itu ada dalam diri kita. Kita bernafsu untuk makan, minum, mandi dan sebagainya. Nafsu itu adalah kehendak. Yang sepatutnya kita jangan ikut adalah hawa nafsu. Apabila seseorang manusia mengikut hawa nafsu, maka rosak binasalah hidupnya.

Allah kurniakan akal kepada setiap manusia. Orang gila? Ada akal, cuma kurang waras. Jadi, dengan akallah kita mengawal nafsu kita. Berlakunya kes-kes jenayah saban hari adalah berikutan kerana ikutan hawa nafsu. Tanpa berfikir panjang dengan akal, mereka terus melakukan perkara yang tidak baik mengikut hawa nafsu mereka. Akhirnya, diri mereka juga yang menjadi hina. Ada yang dipenjarakan, ada yang terbunuh kerana melawan. Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam bersabda, yang bermaksud,

Tiga perkara yang menyelamatkan, iaitu takut pada Allah ketika bersendirian dan di khalayak ramai, berlaku adil pada ketika suka dan marah, berjimat cermat ketika susah dan senang, dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri.
Riwayat Abu Syeikh

Dalam ingin meningkatkan ketaqwaan kepada Allah, sebagai umat Islam, kita perlulah berjihad menentang hawa nafsu. Jika sebagai pemimpin sesebuah negara, pemimpin perlu bertindak dengan adil dan bijaksana. Pemimpin yang memerintah mengikut hawa nafsunya akan membuatkan rakyat di bawahnya susah dan sengsara. Pemimpin seperti ini mementingkan kedudukan dan kekayaan harta bendanya bukanlah mementingkan rakyatnya. Maka setiap orang yang berjihad di jalan Allah, mereka juga akan berjihad menentang hawa nafsu. Sabda Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam, yang bermaksud,

Orang yang berjihad itu ialah mereka yang berjihad menentang nafsunya.
Riwayat Al-Bukhari

Dalam bulan Ramadhan, umat Islam difardhukan puasa sebagaimana puasa umat-umat terdahulu. Puasa ini dapat mengekang kita daripada terikut-ikut hawa nafsu. Ambillah kesempatan ini untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah melalui memperbanyakkan ibadat dan bertaubat. Apabila berada dalam bulan yang lain, tentu sukar bagi kita untuk memperbanyakkan ibadat seperti dalam bulan Ramadhan. Oleh itu, setelah keluarnya daripada madrasah Ramadhan, beristiqamahlah dalam melakukan perkara-perkara baik sebagaimana dalam bulan Ramadhan. Dengan bacaan Al-Qurannya, sedekahnya, dan qiyamulail. Semoga kita menjadi hamba Allah yang bertaqwa, bukanlah menjadi hamba nafsu yang hina.

Wallahu a’lam…

0 orang tertinggal pesanan:

  © Free Blogger Templates Spain by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP