- Malam Ramadhan 14 -
Assalamu’alaikum…
Bagaimana dengan puasa kalian setakat ini? Ada penat? Ada sampai tertidur dari pagi ke petang? Semoga puasa yang kita jalani ini dipenuhi dengan aktiviti yang bermanfaat. Yang mana bekerja itu, lakukanlah kerja dengan proaktif. Tingkatkan mutu kerja kalian, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan. Satu bulan yang isinya tidak ada pada bulan-bulan yang lain.
Sejak Kecil Diajar Berpuasa
Dari kecil kita ini diajar berpuasa secara berperingkat bukan? Ada atau tidak yang dipaksa berpuasa sebulan terus waktu umur 5-6 tahun? Insyaallah tidak ada. Semuanya diajar secara perlahan-lahan dan berhikmah oleh ibu bapa. Ketika di waktu kecil, puasa sampai tengahari, sudah tidak larat, boleh berbuka waktu itu juga. Si ibu faham akan kemampuan si anak. Al-maklumlah, hari pertama berpuasa seumur hidup. Tak kurang juga ada yang sanggup berlapar hingga tiba waktu berbuka puasa. Masyaallah, anak sapa ni? Meningkat usia sedikit, kita sudah mampu berpuasa penuh satu hari. Alhamdulillah, berkat didikan ibu bapa juga tu.
Sehinggalah sekarang, kita tidak boleh lagi ponteng-ponteng puasa, puasa setengah hari. Kita ini sudah la mumaiyiz, sudah baligh lagi. Kita sudah pun memenuhi syarat-syarat tuntutan berpuasa. Melainkan ada di kalangan kita, akalnya kurang sihat dan fizikalnya kurang sihat. Namun, ada jugalah sebahagian daripada kalangan kita, cuba mengambil kesempatan dalam bulan Ramadhan, singgah di kedai-kedai makan. Yang singgah tu tidak mengapa lagi la kot, tetapi yang bungkus makanan untuk makan tengahari, ini yang tidak elok dan memalukan. Teramat malulah kepada mereka yang melakukan perbuatan ‘ponteng puasa’ sedangkan ada anak-anak kecil berumur jauh lebih muda daripada mereka ini, dapat menjalankan ibadah puasa tanpa penat pun.
Kemenangan Dalam Ramadhan
Jika kita singkap kembali sejarah-sejarah kejayaan umat Islam dahulu, semuanya bermula dalam bulan Ramadhan. Perang Badar, iaitu perang pertama umat Islam yang mana umat Islam di bawah pimpinan Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam telah menang dalam perang tersebut. Mereka hanya terdiri daripada 313 orang, orang musyrikin Makkah terdiri daripada 1000 orang. Tengok lagi ke depan, peristiwa Fathul Makkah juga berlaku dalam bulan Ramadhan. Orang Islam memasuki Makkah tanpa sebarang tentangan, melainkan satu dua sahaja.
Ayuh kita ke depan lagi. Peristiwa pembukaan Baitul Maqdis yang dipimpin oleh Salahuddin Al-Ayyubi. Peristiwa ini berlaku dalam bulan Ramadhan. Ketika perang, umat Islam berpuasa kerana dengan puasa akan melahirkan kekuatan dan semangat. Penawanan Andalusia yang diperintah selama 500 tahun juga berlaku dalam bulan Ramadhan. Daripada sejarah-sejarah ini, kemenangan yang umat Islam kecapi. Tatkala berperang pun, menjalankan perintah Allah yakni berpuasa.
Inilah bezanya umat Islam kini dan terdahulu. Hal demikian telah dibuktikan oleh umat Islam terdahulu bahawa berpuasa bukanlah penghalang untuk kita menjadi lemah dan tidak larat. Jangan jadikan berpuasa sebagai alasan produktiviti dan kualiti kerja kita menurun. Sebaliknya, salahkan diri sendiri kerana tidak mahu berusaha dan berdaya saing. Kenapa kita tidak jadikan bulan puasa ini sebagai satu medan untuk kita meningkatkan daya usaha dalam pekerjaan dan menambah produktiviti syarikat? Jadikan puasa itu sebagai sebab untuk kita lebihkan lagi usaha, tidak kiralah dalam pekerjaan, pelajaran mahupun ibadah.
1961 Di Tunisia
Pada tahun 1961, Presiden Tunisia, Habib Bourguiba, telah membuat kenyataan menyuruh rakyatnya supaya jangan berpuasa sebulan dalam bulan Ramadhan. Keputusan demikian telah diputuskan dalam mesyuarat sebulat suara kerana kononnya tahap produktiviti negara itu dan mutu kerja menurun dalam bulan Ramadhan. Larangan ini telah dilaksanakan di seluruh negara Tunisia pada tahun itu. Sebagai mengotakan apa yang dikata, Presiden Tunisia ini telah membuat satu acara makan secara terbuka pada siang hari dalam bulan Ramadhan. Dia dan kabinetnya menjamu selera di tengah-tengah orang ramai yang dapat melihat betapa terbukanya dia mencabar perintah Allah.
Ada sebahagian rakyatnya yang membantah larangan tersebut dan tak kurang pula sebahagian yang menyokongnya. Yang membantah akan dipenjarakan tanpa soal bicara sehingga mati di dalamnya. Jika kita lihat di sini, keberanian yang ada pada Habib Bourguiba, Presiden Tunisia ini memang luar biasa. Berani melanggar perintah Allah yang telah nyata dalam Al-Quran. Malangnya, keberaniannya tidak bertempat dan salah di sisi agama Islam. Dia tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada sejarah-sejarah umat Islam yang lampau.
Salahnya Pada Umat, Bukan Pada Agama
Kesalahan yang dilakukan oleh umat Islam kini menjadikan penganut agama lain memandang serong terhadap Islam. Sepatutnya hal demikian tidak berlaku kerana umat Islam juga manusia, kesalahan sepatutnya diletakkan pada umatnya, bukan pada agama Allah. Sebagai contoh, kereta Ferrari. Orang memandang kereta Ferrari ini hebat, lengkap dengan ciri-ciri teknologi dan keselamatan. Apabila kereta Ferrari terlibat dalam kemalangan, rosak teruk. Jadi, orang melihat kereta Ferrari ini berkualiti rendah. Yang sebetulnya, pemandu tersebut yang bersalah kerana tidak memandu secara berhemah dan mengikut peraturan jalan raya yang telah ditetapkan. Ini yang berlaku kepada agama Islam sekarang.
Kita sebagai umat Islam jangan salahkan apa-apa jua yang Allah perintahkan kepada kita. Perintah Allah bukanlah bertujuan untuk menyusahkan atau mengongkong hidup kita sebaliknya memberi kehidupan yang lebih baik di dunia mahupun di akhirat kelak. Menyalahkan Islam akan membuatkan penganut agama lain memandang rendah kepada Islam. Baikilah kehidupan kita agar mengikut jalan Allah, jauh dari simpang-simpang syaitan. Dekatilah Al-Quran supaya lebih mengenali Allah dan Rasul-Nya. Supaya lebih mengenali Islam dan segala isiannya.
Wallahu ‘alam…
0 orang tertinggal pesanan:
Post a Comment